Lelaki angkut pendatang asing seludup masuk ke Malaysia dipenjara 8 tahun
Bernama
Mac 31, 2022 06:00 MYT
Mac 31, 2022 06:00 MYT
PUTRAJAYA: Seorang penganggur yang mengangkut pendatang tanpa izin yang diseludup masuk ke Malaysia oleh "Geng Otong" dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana membantu kumpulan penjenayah terancang itu menjalankan aktiviti penyeludupan manusia dan melindungi pendatang tanpa izin.
Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada Khamis yang menolak rayuan Sulaiman Jalal, 49, supaya hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan itu berjalan serentak.
Sulaiman dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Julai 2020 selepas dia mengaku bersalah melindungi dan menyembunyikan lima pendatang tanpa izin warga Indonesia.
Dia tidak membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Pada 17 Ogos tahun lepas, Sulaiman dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah membantu "Geng Otong" melakukan penyeludupan manusia di Kota Tinggi, Johor, antara 1 Jan 2015 dan 22 April 2020.
Mahkamah Tinggi memerintahkan dia menjalani hukuman penjara lima tahun itu selepas menyelesaikan hukuman penjara tiga tahun sebelumnya, yang mendorongnya merayu kepada Mahkamah Rayuan agar hukuman penjara itu dijalankan serentak.
Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah menolak rayuan Sulaiman terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya dia perlu menjalani dua hukuman penjara itu berturut-turut.
Beliau berkata walaupun Sulaiman ditahan pada hari yang sama, kedua-dua kesalahan itu berbeza.
Hanipah yang bersidang bersama Datuk Gunalan Muniandy dan Datuk Nordin Hassan, berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang tepat semasa mengarahkan Sulaiman menjalani hukuman itu secara berturut-turut.
Sulaiman mahu hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan itu dijalankan serentak yang bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara lima tahun.
Mengikut fakta kes, siasatan polis mendapati Sulaiman telah membantu "Geng Otong" menyeludup pendatang Indonesia ke Malaysia dan turut menyeludup mereka pulang ke Indonesia.
Sulaiman dikatakan bertindak sebagai pemandu yang akan mengambil pendatang tanpa izin yang diseludup kumpulan penjenayah itu untuk dihantar ke pusat perlindungan.
Dia juga membantu kumpulan itu dengan memainkan peranan sebagai penjaga dan penyelia tempat transit yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan sementara bagi pendatang tanpa izin yang baru masuk.
Sulaiman ditahan pada 23 April 2020 kerana melindungi dan menyembunyikan pendatang tanpa izin warga Indonesia di Kampung Bukit Raja Darat, Sungai Rengit, Kota Tinggi, Johor, dengan menyediakan rumah perlindungan untuk mereka tinggal sementara atau sebelum mereka (pendatang tanpa izin) pulang ke Indonesia dengan bot.
Dalam kenyataannya yang direkodkan polis, Sulaiman mengaku dibayar RM200 setiap kali mengangkut pendatang itu.
Sulaiman diwakili peguam Muhamad Izwan Ishak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan manakala Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen Azli mewakili pendakwaan.
-- BERNAMA