Lelaki 27 tahun dalang dadah bernilai RM1.19 juta di Sarawak
Rudi Affendi Khalik
Mac 1, 2022 10:43 MYT
Mac 1, 2022 10:43 MYT
KUCHING: Polis Sarawak menahan seorang lelaki berusia 27 tahun pada 26 Feb lalu, selepas dipercayai berperanan sebagai tokan dadah di kawasan selatan negeri ini.
Menurut Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, suspek yang berbangsa Bidayuh dicekup dalam satu serbuan di sebuah kedai kopi di Batu 6 1/2 Jalan Penrissen.
"Ketika ditangkap, suspek didapati memegang satu bungkusan yang telah diterimanya melalui kiriman pos ekspres.
"Setelah diperiksa, pasukan serbuan mendapati bungkusan tersebut mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu, dengan berat kasar 6,098 gram," katanya.
Hasil siasatan lanjut, suspek kemudian memandu arah pasukan serbuan ke satu lagi pusat kiriman pos ekspres, di mana satu lagi bungkusan dirampas.
"Bungkusan yang dibaluti plastik ini juga didapati mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu, dengan berat kasar 6,096 gram," kata Mancha.
Suspek, tambahnya lagi, kemudian membawa pasukan serbuan ke kediamannya di Kampung Bumbok dan di sini pasukan serbuan telah merampas satu lagi bungkusan kotak.
"Kotak itu mengandungi 13 bungkusan plastik yang setiap satunya berisi ketulan hablur dipercayai ketamin, dengan anggaran berat kasar 13,376 gram.
"Turut dirampas satu bekas tin yang mengandungi paket lut sinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 664 gram."
Kata Mancha, berat kasar keseluruhan syabu yang dirampas adalah 12,258 gram dengan nilai pasaran RM462,888.
Manakala berat dadah ketamin adalah sekitar 13, 376 gram dengan nilai pasaran RM735,680.
"Secara keseluruhan, nilai pasaran untuk dadah-dadah ini adalah sekitar RM1.19 juta dan ia boleh digunakan oleh 25,634 penagih.
"Kita percaya ia diperoleh dari Semenanjung Malaysia," tambahnya lagi.
Kes ini jelasnya, adalah yang terbesar untuk jenayah narkotik Sarawak bagi tempoh 14 bulan kebelakangan ini.
Suspek kini ditahan reman untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman maksimum, penjara seumur hidup.