Lelah dan bosan dengan masalah air

Eton Khir
Mei 4, 2022 22:23 MYT
Adinah Wasir mengisi air ke dalam bekas sebagai persiapan akibat sering berdepan gangguan bekalan air. - Gambar Astro AWANI
PUCHONG: Lelah dan bosan dengan masalah air. Itu antara luahan penduduk di Kampung Batu 14, Puchong yang kerap berhadapan gangguan bekalan air di kawasan mereka.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, gangguan terbaharu pada Selasa yang juga hari kedua Aidilfitri memberi tekanan kepada penduduk.
Ahmad Saiful Abu Mutalib, 40, berkata, situasi itu menyebabkannya sukar untuk melayan tetamu yang berkunjung ke rumahnya.
“Situasi ini memang selalu terjadi namun apabila berlaku ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri ia memang akan menjadi sukar. Waktu itulah tetamu akan datang beraya.
“Ketiadaan air ini akan menyukarkan banyak perkara, antaranya mencucui pinggan mangkuk, mandi dan sebagainya. Namun saya bernasib baik, ada simpanan bekalan air jadi bolehlah digunakan," katanya pada Rabu.
Adinar Wasir Ali, 59, pula berkata, Aidilfitri yang seharusnya diraikan dengan meriah bersama ahli keluarga terjejas apabila terpaksa berdepan masalah ketiadaan air.
“Sehari sebelum sambutan Hari Raya, lebih kurang 12 jam. Sejak jam 10 pagi sehinggalah 10 malam tiada air. Ketika itu kami sedang sibuk menyediakan persiapan Hari Raya.
“Esoknya barulah ada kembali ada bekalan air, namun kembali ada gangguan bekalan air pada Hari Raya pertama bermula dari jam 9 pagi sehingga 9 malam.
“Terpaksalah kami guna pinggan mangkuk pakai buang pakai kerana tidak dapat mencucui sehingga malam. Akhirnya jam 10 malam baru ada bekalan air.
"Saya harapkan masalah ini mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan. Kasihan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Wan Nianti Ghulam Mohamad, 70, berkata ketiadaan air menyukarkan aktiviti harian khususnya untuk beribadat dah membersihkan diri.
“Kami ini warga emas, jadi untuk mengambil air dengan jarak yang jauh itu pastilah akan menyukarkan keadaan.
“Bila tiada air, terpaksalah membeli air mineral untuk minum dan mengambil air sembahyang. Takkan kita mahu menggunakan air yang biasa-biasa. Diharapkan, tiadalah lagi masalah air di Puchong ini,” katanya.
Terdahulu, air selangor dalam kenyataan media pada Selasa memaklumkan sebanyak 472 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang berdepan gangguan bekalan air.
Bekalan air bagaimanapun pulih pada Rabu.
#Aidilfitri #bekalan air #Puchong #isu bekalan air
;