Lekoshow KEDA Pulau Tuba hasilkan keropok lekor ikan kebasi

Bernama
September 29, 2024 04:00 MYT
Amir Hamzah (kanan) bertemu usahawan keropok lekor ketika mengadakan lawatan ke Pulau Tuba yang merupakan kampung angkat MADANI. - Gambar Bernama
LANGKAWI: Keropok lekor kebiasaannya dihasilkan menggunakan ikan tamban atau parang, namun bagi Rosnani Che Ghazali, beliau menjadikan ikan kebasi sebagai resepi utama penghasilan hidangan kudapan diminati ramai itu.
Wanita berasal dari Pulau Tuba, dekat sini itu berkata, usahanya mencipta kelainan membuahkan hasil apabila keropok lekor di bawah jenama Lekoshow KEDA Pulau Tuba kini menjadi antara tarikan utama pelancong yang berkunjung ke pulau berkenaan.
"Saya mengusahakan keropok lekor ini sejak tujuh tahun lepas, dibantu oleh tiga orang rakan. Mesin proses ikan dan peralatan buat keropok lekor saya dapat bantuan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan baru-baru ni dapat juga bantuan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
"Sebelum mula buat keropok lekor, KEDA hantar saya ke Terengganu belajar cara buat keropok lekor. Mulanya rasa sangat susah, tapi berkat sokongan dan dorongan pelbagai pihak, akhirnya saya berjaya," katanya yang merupakan pengusaha tunggal keropok lekor di Pulau Tuba kepada Bernama.
Rosnani berkata, kini, Lekoshow yang terletak di Kampung KEDA Teluk Berembang menjadi persinggahan wajib bagi pengunjung yang datang ke Pulau Tuba.
"Pengunjung dapat melihat sendiri proses bagaimana ikan kebasi segar diproses dan terus dijadikan keropok lekor. Mereka boleh terus menikmati keropok lekor di sini panas-panas lepas digoreng atau beli sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.
"Ikan kebasi banyak di sini dan keropok lekor guna ikan kebasi ini lebih sedap berbanding guna ikan kembung, rasa lembut dan lebih elok hasilnya," katanya.
Rosnani berkata, disebabkan permintaan yang tinggi, setiap hari petugas di Lekoshow memproses antara 100 hingga 200 kilogram ikan kebasi atau dikenali juga sebagai ikan selangat yang diperoleh daripada nelayan tempatan di pulau itu.
"Kadang-kadang kami proses sehingga 400 kilogram sehari sebab sekarang dah ramai pelancong datang ke Lekoshow kerana sudah semakin dikenali ramai," katanya.
Wanita berusia 49 tahun itu berkata, KEDA juga banyak membantu mempromosikan Lekoshow menerusi pelbagai ekspo atau karnival usahawan di luar Pulau Tuba dan ia memberi impak sangat positif terhadap perusahaan berkenaan.
"Saya sangat bersyukur kerana menerusi Lekoshow, kaum wanita di pulau ini dapat menambah pendapatan keluarga kerana setakat ini pulangan hasil yang diperolehi sangat memberangsangkan," katanya.
Lekoshow turut menerima sumbangan mesin dan peralatan perniagaan di bawah program Kampung Angkat MADANI Kementerian Kewangan dan menerima kunjungan daripada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semasa beliau melawat Pulau Tuba pada Sabtu. - BERNAMA
#keropok lekor #Pulau Tuba #ikan kebasi #KEDA
;