LEKAS ditutup Sabtu dan Ahad ini, beri laluan kepada RHB LEKAS Highway Ride 2023
Bernama
Oktober 17, 2023 19:58 MYT
Oktober 17, 2023 19:58 MYT
KUALA LUMPUR: Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAS) akan ditutup sementara dari 5 petang Sabtu ini hingga 4 pagi keesokannya untuk memberi laluan kepada acara berbasikal malam tahunan RHB LEKAS Highway Ride 2023 (Edisi ke-8).
Ketua Pegawai Eksekutif LEKAS Wan Salwani Wan Yusoff berkata penutupan jalan itu bermula dari Persimpangan Bertingkat Kajang Selatan hingga ke Persimpangan Paroi dengan sejumlah sembilan simpang serta 20 laluan keluar masuk ditutup bagi memastikan kelancaran kayuhan dan keselamatan lebih 6,000 peserta.
"Pengguna dari arah utara dan selatan seperti Kuala Lumpur, Cheras, Kajang, Seremban, Senawang serta Kuala Pilah adalah dinasihat menggunakan Jalan Persekutuan 1 atau Lebuhraya PLUS untuk meneruskan perjalanan mereka," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata acara itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia untuk menjadi penaja venue serta Bahagian Trafik Bukit Aman bagi pelan pengurusan lalu lintas berhubung jumlah penutupan jalan.
"Selain itu, LEKAS mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk menganjurkan acara ini. Penutupan jalan bagi acara ini dijangka membabitkan kira-kira 60,000 pengguna lebuh raya.
"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PDRM atas kerjasama dan sokongan mereka dengan menyediakan anggota dari Kajang, Mantin, Nilai serta Seremban bagi membantu penutupan jalan ini," katanya.
LEKAS turut memohon maaf kepada pengguna jalan raya atas sebarang kesulitan yang dihadapi.
-- BERNAMA