Leka memancing, dua lelaki terperangkap ketika air pasang
Astro Awani
November 7, 2021 10:45 MYT
November 7, 2021 10:45 MYT
KOTA TINGGI: Dua lelaki berdepan detik cemas selepas terperangkap selama lebih 2 jam di tengah batu tunggul pantai ketika sedang memancing di Pantai Tanjung Balau, di sini, semalam.
Menurut komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari, kejadian dipercayai berlaku ketika fenomena air pasang berlangsung di perairan tersebut.
"Operasi menyelamat menggunakan sebuah bot nelayan tempatan dan mangsa dijumpai berada di atas batu tunggul pantai dalam keadaan selamat.
"Satu jentera FRT dan satu jentera EMRS dari BBP Penawar dengan kekuatan keseluruhan seramai sembilan orang anggota telah dihantar ke tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kedua-dua mangsa yang berumur lingkungan 20-an itu berjaya diselamatkan dan dibawa ke jeti berhampiran.
Menurutnya, mangsa yang sedang leka memancing, tidak menyedari paras air semakin meningkat di kawasan tersebut.
Mangsa kemudiannya membuat panggilan kecemasan pada jam 9.46 malam sebelum operasi menyelamat oleh anggota BBP Penawar selesai dijalankan pada jam 2.45 pagi ini.