Leka layan pelanggan, 12 GRO warga Vietnam antara 33 ditahan Imigresen

Aida Aziz
Ogos 8, 2024 22:00 MYT
Menurut Meor Hezbullah, ketika serbuan dibuat di premis hiburan, kesemua GRO warga Vietnam itu tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa dan gagal melarikan diri. - Foto JIM Perak
IPOH: Seramai 12 orang wanita pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam antara 33 pendatang asing tanpa izin yang ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan di sebuah pusat hiburan, di sini.
Mereka ditahan dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak di tiga premis iaitu pusat hiburan, restoran dan perniagaan menerusi Ops Gegar, Ops Selera dan Ops Minyak.
Menurut Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Ipoh pada Rabu jam 7 malam dan tamat 12.20 tengah malam pada Khamis.
"Ketika serbuan dibuat di premis hiburan tersebut, kesemua GRO warga Vietnam itu tidak menyedari kehadiran JIM dan gagal melarikan diri.
"Turut ditahan empat lelaki Myanmar yang bekerja sebagai pelayan bar di premis tersebut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Beliau menambah, JIM turut menahan 12 pekerja restoran dan lima pekerja di kedai cuci kereta di dua lokasi berlainan.
Selain itu, katanya, sebanyak tujuh Borang IMM.29 iaitu Saman Kepada Saksi dikeluarkan kepada majikan sepanjang tempoh pemeriksaan dibuat.
"Serbuan dibuat berdasarkan aduan dan risikan dijalankan Unit Risikan dan Operasi JIM Perak. Dengan kekuatan 15 pegawai Imigresen, pemeriksaan dijalankan ke atas 62 orang yang berada di premis terbabit.
"Seramai 33 warga asing terdiri daripada 12 wanita Vietnam, tujuh lelaki Myanmar, enam lelaki India, empat lelaki Bangladesh ditahan. Juga, dua lelaki dan seorang wanita Sri Lanka serta seorang lelaki Nepal.
"Kesemuanya berusia antara 17 dan 40 tahun, ditahan kerana dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," tambahnya.
Meor Hezbullah berkata, kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Iaitu kerana memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.
Kesalahan lain ialah di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu kerana tinggal/berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang dikeluarkan.
#Imigresen #operasi #pendatang asing #pusat hiburan