Leka berpesta air, 21 warga Myanmar ditahan polis

Dewi Nur Harasha Alias
April 17, 2021 22:47 MYT
20 lelaki dan seorang wanita itu ditahan selepas pihak polis menerima laporan daripada orang awam. -PDRM
SEBERANG PERAI: Padah asyik berpesta air dan menari serta memasang muzik dengan kuat, 21 warga Myanmar ditahan polis di hadapan sebuah rumah di Taman Bidara, Bukit Mertajam.
Dalam kejadian jam 2.30 petang Sabtu itu, 20 lelaki dan seorang wanita itu ditahan selepas pihak polis menerima laporan daripada orang awam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad memaklumkan sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati sekumpulan lelaki dan wanita warga asing sedang berkumpul di pekarangan sebuah rumah.
"Mereka bukan sahaja membuat bising, malah leka menari mengikut rentak muzik dan bermain semburan air menggunakan paip getah.
"Malah kumpulan itu juga didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal selain tidak memakai pelitup muka semasa berkumpul,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Shafee berkata menyedari kehadiran polis, kumpulan terbabit cuba melarikan diri dengan salah seorang lelaki yang disyaki mabuk bertindak menolak anggota polis semasa pemeriksaan.
"Lelaki itu juga meninggikan suara dan enggan memberi kerjasama apabila diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri," katanya.
Sementara itu, Shafee berkata kesemua individu berkenaan yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun ditahan kerana gagal memberikan alasan yang munasabah di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.
Mereka juga ditahan mengikut Peraturan 15, Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan.
#Myanmar #pesta air #buat bising #pasang muzik kuat #Taman Bidara #Bukit Mertajam #Shafee Abd Samad #perintah kawalan pergerakan