Legoland dibuka semula kepada pengunjung
Bernama
Jun 26, 2020 17:13 MYT
Jun 26, 2020 17:13 MYT
Selepas ditutup sementara selama beberapa bulan akibat pandemik COVID-19, Legoland Malaysia Resort kembali dibuka kepada pengunjung mulai Khamis dengan beroperasi pada kapasiti lebih rendah sebagai langkah pencegahan.
Pengarah Bahagian, Lim Choong Sean berkata taman tema itu mengalu-alukan kehadiran pengunjung ke hotelnya selain SEA LIFE Malaysia, tarikan di dalam air yang interaktif.
Beliau berkata dengan pembukaan semula operasinya yang sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan kerajaan, tetamu dijangka berdepan protokol baharu dan perubahan operasi di seluruh resort di samping perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan.
"Kami perlu mengehadkan kapasiti resort kepada hanya 30 peratus daripada operasi normal. Kami turut menyediakan platform urus niaga tanpa tunai untuk meminimumkan sentuhan di antara tetamu dan pekerja.
"Kami turut menutup sebahagian aktiviti untuk sementara bagi memastikan penjarakan sosial," katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Katanya, resort taman tema itu turut menerima sambutan di luar jangkaan semasa dibuka semula semalam.
Bagi menggalakkan kehadiran lebih ramai pengunjung, Legoland Malaysia Resort turut menawarkan pelbagai promosi menarik kepada orang ramai.
"Contohnya, tempah satu malam di Legoland Hotel dan percuma untuk malam kedua, dan sekiranya pengunjung menempah tiket satu hari di taman tema itu, mereka akan menerima satu lagi tiket percuma.
"Pelbagai tawaran menarik dan fleksibel disediakan untuk menarik semula kehadiran pengunjung ke Legoland," katanya.
-- BERNAMA