Legenda golf negara Zainal Abidin meninggal dunia

Bernama
Julai 7, 2021 20:38 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarganya menerusi hantaran di Instagram Istana Negara.
KUALA LUMPUR: Bekas pemain golf negara, Zainal Abidin Mohamed Yusof meninggal dunia akibat jangkitan buah pinggang pada jam 6:30 pagi Rabu.
Allahyarham berusia 78 tahun.
Perkara itu disahkan oleh abang Allahyarham, Sahabuddin Yusof ketika dihubungi pada Rabu.
Menurut Sahabuddin, jenazah Allahyarham dikebumikan jam 4 petang semalam di Kedah.
Allahyarham Zainal Abidin merupakan legenda golf negara pada era 60-an hingga 80-an dan pernah mewakili Malaysia di Kejohanan Golf Piala Dunia sebanyak lima kali serta Piala Dunhill di St Andrew, Scotland.
Beliau yang berasal dari Ipoh, Perak, dikenali sebagai pemain profesional bersama tiga adik beradiknya iaitu Khairudin Yusof, Sahabuddin Yusof dan Nazamuddin Yusof.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang Rabu turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarganya menerusi hantaran di Instagram Istana Negara.
"Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham kepada negara amat dihargai dan pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada sukan golf tanah air," demikian menurut hantaran itu.
-- BERNAMA
#legenda golf negara #Zainal Abidin Mohamed Yusof #jangkitan buah pinggang #Kejohanan Golf Piala Dunia #Yang di-Pertuan Agong #golf