Legenda bola sepak negara, Shaharuddin 'The Black Cat' meninggal dunia

Sinar Harian
Disember 28, 2023 11:33 MYT
Allahyarham shaharuddin Abdullah menyarung jersi Malaysia sekitar 1968 sehingga 1981.
LEGENDA bola sepak negara, Shaharuddin Abdullah, 75, disahkan meninggal dunia pada awal pagi Khamis.
Allahyarham yang terkenal dengan jolokan 'The Black Cat' dan 'Sharpshooter' meninggal dunia di Hospital Taiping, Perak pada jam 5.07 pagi Khamis.
Berita pemergian penjaring gol sulung Malaysia di Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972 itu disahkan anaknya, Shahrina Shaharuddin.
Arwah dimasukkan ke hospital berkenaan pada Ahad lalu akibat lelah atau sesak nafas.
Difahamkan arwah juga menghadapi masalah darah tinggi dan asma.
Jenazah akan dibawa pulang ke kediaman anaknya di Kampung Kaki Bukit Jana dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Silverstone Kamunting selepas Zuhur.
Anak jati Bagan Dalam, George Town Pulau Pinang itu merupakan antara watak penting dalam sejarah bola sepak negara.
Allahyarham menyarung jersi Malaysia sekitar 1968 sehingga 1981 dan pernah meraih gangsa dalam Sukan Asia 1974 di Teheran Iran.
Shaharudin juga adalah wira Pulau Pinang ketika membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia pada 1974 dan merupaka kali terakhir piala itu singgah di Pulau Mutiara. - Sinar Harian
#legenda bola sepak #Shaharuddin Abdullah #The Black Cat #meninggal dunia
;