Legasi 20 tahun usahakan kebun jambu batu Louhan

Bernama
Jun 6, 2023 09:16 MYT
Kian Lee berkata, jambu batu Louhan mempunyai potensi untuk diperluaskan ke pasaran di luar Melaka termasuk Singapura, namun kini beliau lebih memberi fokus kepada permintaan tinggi pasaran tempatan. - Foto Bernama
MELAKA: Tidak ramai yang tahu bahawa jambu gergasi 'Louhan' yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia sebenarnya berakar umbi dari bumi Klebang, Melaka.
Lebih istimewa buah jambu yang manis dan ranggup serta kaya dengan vitamin C ini diusahakan oleh gandingan dua beranak iaitu Chan Teng Chay, 65 dan anaknya Chan Kian Lee, 38 di sebuah kebun seluas lapan ekar di Setulang Daeng, Bukit Rambai.
Menurut Teng Chay, dia bermula dengan 100 anak pokok jambu batu yang dibawa balik dari Taiwan dan ditanam di Batu Pahat secara percubaan pada tahun 2000.
"Masa itu saya bekerja dalam bidang logistik dan sering membawa masuk pelbagai tumbuhan, buah dan bunga ke Malaysia. Jadi bila saya tengok jambu yang dipanggil 'Ba Le' di Taiwan ini banyak ditanam dan dijual, saya mula tertarik.
"Jadi saya bawa balik anak pokok dan cuba tanam di Batu Pahat, Johor. Dalam masa yang sama kami cuba juga tanam di Melaka sekitar 500 pokok dan sehingga kini, ia hidup dengan subur malah kualiti buah sangat baik," katanya kepada media selepas lawatan ke kebun tersebut.
Memandangkan jambu batu itu tidak ada nama khusus bagi pasaran di Melaka ketika itu, beliau berbincang dengan rakan yang sama-sama mengusahakan kebun ini dan akhirnya pilih nama Luohan.
"Ini juga kerana pada ketika itu saya suka dan ada membela ikan flower horn dan bentuk jambu batu ini seperti bonjolan ikan itu. Jadi, kami pilih nama tersebut," katanya.
Peralihan masa juga menyaksikan Chan berjaya menaman dua jenis lagi pokok jambu iaitu jenis kristal yang tiada biji dan jambu batu merah jambu, yang kini masing-masing mempunyai hampir 100 pokok.
Mengulas mengenai pengeluaran buah jambu dari kebunnya itu, Kian Lee menjelaskan pungutan setiap minggu adalah sekitar satu tan malah boleh mencapai sehingga enam tan pada musim kemuncak buah berbuah.
"Paling utama, pengeluaran buah bergantung kepada cuaca dan usia pokok. Sekiranya musim panas, saiz buah boleh mencapai sehingga 2.2 kilogram namun bagi pasaran, saiz tersebut tidak begitu digemari pembeli.
"Jadi kami akan pastikan melalui proses pembungkusan yang tertentu, buah dipetik apabila mencapai saiz antara 400 gram hingga 600 gram. Bagi saiz tersebut, kami akan menjualnya secara borong pada harga RM6 sekilo di sekitar Melaka dan Kuala Lumpur," katanya.
Berlatarbelakangkan bidang pendidikan bioteknologi, Kian Lee menjelaskan jambu batu Louhan mempunyai potensi untuk diperluaskan ke pasaran di luar Melaka termasuk Singapura, namun kini beliau lebih memberi fokus kepada permintaan tinggi pasaran tempatan, meskipun sedang berdepan kekangan tenaga pekerja.
Mengulas lanjut, Kian Lee berkata beliau juga sentiasa cuba mencari kaedah terbaik dalam mengimbangi penggunaan baja dan racun organik untuk memastikan buah yang dihasilkan selamat untuk dimakan.
Katanya, baja kompos yang buat daripada antaranya sekam padi dan susu tepung yang sudah tamat tempoh setakat ini memberi hasil pengeluaran buah memenuhi kualiti dan standard pasaran.
"Kita juga secara beransur-ansur cuba memodenkan kebun ini dengan menggunakan kaedah penanaman secara saintifik yang mana akan membantu mengelakkan tanah rosak akibat penggunaan racun dan baja kimia.
"Sistem pengairan juga dipertingkatkan dan dalam masa yang sama kita memajak tanah-tanah pertanian terbiar sebagai usaha meningkatkan hasil tanamam sekali gus dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat yang berminat dalam bidang pertanian," katanya.
-- BERNAMA
#Klebang Melaka #jambu batu Louhan #baja #kebun
;