Leftenan Komander TLDM antara empat ditahan SPRM
Hilal Azmi
Ogos 13, 2018 20:57 MYT
Ogos 13, 2018 20:57 MYT
Empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana dipercayai mengemukan tuntutan palsu bagi pembelian toner berjumlah RM93,685 kepada Pusat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pulau Indah, Selangor.
Mereka yang ditahan terdiri pegawai dan bekas pegawai TLDM yang memegang jawatan sebagai Bentara dan Leftenan Komander.
Selain mereka, turut ditahan seorang pemilik dan juga pengurus syarikat terlibat dalam penjual toner terbabit.
Menurut sumber, meskipun dokumen tuntutan bayaran pembelian terbabit telah dikeluarkan syarikat tersebut namun peralatan yang disenaraikan tidak dibekalkan mereka.
Ujarnya, antara peralatan toner yang disenaraikan iaitu seperti Black CE270A, Cyan CE271A, Magenta CE273A dan Yellow CE272A bernilai RM57,400.00.
"Sehubungan itu, dua pegawai TLDM dan pemilik syarikat tersebut akan dipohon reman di Mahkamah Shah Alam pada esok pagi manakala pengurus syarikat terlibat dilepaskan dengan notis dan jamin untuk hadi di SPRM Klang bagi merakamkan percakapan.
"Kesemua suspek berusia 37 sehingga 50 tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.