Lebuhraya Utara-Selatan sesak, treler terbakar berhampiran Terowong Menora

Abd Razak Mohd Ali
April 2, 2023 06:15 MYT
Kebakaran melibatkan sebuah treler membawa muatan besi, musnah terbakar 65 peratus di bahagian kepala. - Foto PLUS
KUALA KANGSAR: Lebuhraya Utara-Selatan sesak selepas sebuah treler terbakar di Kilometer 260.2 arah utara di antara laluan Terowong Menora ke Kuala Kangsar, dekat sini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Pegawai Bomba Kanan II Syed Hazrul Hizam Syef Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 10.35 malam.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah treler membawa muatan besi, musnah terbakar 65 peratus di bahagian kepala.
Bagaimanapun, katanya, kebakaran tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan jiwa.
“Pasukan bomba yang tiba membuat kerja-kerja memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos 100 kaki serta satu ‘hose reel’ sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini, pagi ini.
Operasi yang turut dibantu anggota dari BBP Meru Raya dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru tamat jam 12.35 pagi.
Sementara itu, menurut Twitter PLUS Trafik, kemalangan menyebabkan lebuh raya sesak lebih dua kilometer.
Menurutnya, walaupun lorong kiri masih terhalang sehingga jam 4.35 pagi, tetapi trafik lancar dan pemandu dinasihatkan supaya berhati-hati.
#Nahas #Terowong Menora #kesesakan lalu lintas #treler terbakar
;