Lebuhraya SUKE fasa 2 dibuka pertengahan Jun

Faida Rahim
Jun 10, 2023 13:50 MYT
Mohammad Azlan memaklumkan pembukaan SUKE fasa dua dijangka mengurangkan 30 peratus kesesakan lalu lintas Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2). - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) fasa dua dari Sri Petaling ke Ulu Klanga akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada pertengahan bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) Datuk Mohammad Azlan Abdullah, memaklumkan pembukaan SUKE fasa dua dijangka mengurangkan 30 peratus kesesakan lalu lintas Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
“Dalam minggu depan, pembukaan fasa kedua SUKE menghubungkan pengguna dari Lebuh Raya Kesas, Pelabuhan Klang, Subang Jaya, Bukit Kemuning, Puchong dan sebagainya menuju ke Bukit Antarabangsa dan Pusat Bandar dengan lebih cepat.
“Kita sasarkan jumlah keseluruhan trafik yang bakal gunakan laluan SUKE fasa dua dari persimpangan Sri Petaling ke Bukit Antarabangsa lebih kurang 80,000 ke 100,000 kenderaan sehari,” katanya ketika ditemui di sesi taklimat media dan lawatan tapak projek Lebuh Raya SUKE fasa 2 pada Sabtu.
Tambah beliau, fasa 2 SUKE melengkapkan jajaran utama Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 kilometer dari Sri Petaling ke Ulu Klang dengan panjang keseluruhan 57.7 kilometer termasuk persimpangan.
“Ada 14 persimpangan keluar dan masuk di mana sebahagian besarnya telah dibuka tahun lalu fasa pertama untuk Cheras- Kajang ke Bukit Antarabangsa.
“Pada masa ini dari jajaran Cheras-Kajang ke Bukit Antarabangsa, kita anggarkan purata trafik sebanyak 60,000 ke 70,000 sehari. Bila baki lebuh raya dibuka, kita sasarkan 90,000- 100,000 orang akan menggunakan SUKE fasa 2,” katanya.
Sementara itu, Azlan mengalu-alukan pengguna lebuh raya menggunakan SUKE fasa dua sebagai inisiatif penjimatan masa lebih signifikan serta memberi pemanduan lebih selesa dan selamat
#suke #sri petaling #Ulu Klang #tarikh pembukaan
;