Lebuhraya Pan Borneo Sabah siap 65 peratus - Arthur Joseph Kurup
Bernama
September 4, 2022 06:45 MYT
September 4, 2022 06:45 MYT
TAWAU: Pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah kini pada tahap 65 peratus siap berbanding 86 peratus di Sarawak, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata kelewatan tersebut berpunca oleh pertukaran kerajaan negeri Sabah pada 2018, menyebabkan perubahan dasar antaranya membatalkan rakan pelaksana projek (PDP) projek itu.
"Sarawak pula tidak melibatkan perubahan kerajaan...mereka meneruskan dasar, pembangunan dan tiada pembatalan ini kerana Sarawak lebih maju bina LPB berbanding dengan kita (Sabah). Sekarang kita sudah balik dalam kerajaan.
"Saya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya memberi komitmen bantu kerajaan bina LPB Sabah malah Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) telah meluluskan semua 19 baki pakej projek itu dan kita komited siapkan semua (pakej ini) dalam lima tahun," katanya, di sini, pada Ahad.
Arthur, yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat PBRS Parlimen Tawau dan turut menerima borang keahlian baharu kira-kira 2,000 orang di sini.
Pada Mei lepas, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, dilaporkan berkata baki 19 daripada 35 Pakej Kerja dalam fasa pertama projek pembinaan LPB Sabah akan dilaksanakan menggunakan peruntukan kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, Arthur berkata pembinaan jalan bagi menghubungkan Sabah terutama kawasan Kalabakan dan Serudong ke SImanggaris di Kalimantan, Indonesia, akan dijadikan projek keutamaan untuk pelaksanaan pada tahun depan.
Beliau berkata langkah itu penting dalam usaha memastikan Sabah terutama rakyatnya dapat meraih limpahan ekonomi dengan langkah Indonesia memindahkan ibu negaranya di Nusantara, Kalimantan.
"Kita mengutamakan perancangan supaya kerja awalan dimulakan untuk jalan ke SImanggaris bagi memastikan Sabah bersedia dan tidak ketinggalan untuk meraih limpahan ekonomi itu," katanya.
-- BERNAMA