Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama mula dibuka 25 Jun - Abdul Rahman
Bernama
Jun 18, 2023 21:30 MYT
Jun 18, 2023 21:30 MYT
KOTA BHARU: Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) akan mula dibuka kepada pengguna pada 25 Jun ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata laluan tersebut melibatkan keseluruhan jajaran jalan di dalam CSR Pakej 5B dan sebahagian jajaran jalan di dalam CSR Pakej 5A, melalui susur keluar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub.
"Kerja-kerja pembinaan berkenaan dijangka siap pada hujung tahun ini, tetapi saya mengarahkan Jabatan Kerja Raya, menyegerakan arahan kepada kontraktor menyiapkannya sebelum Aidiladha.
"Ini kerana kita mengambil kira lebih 500,000 kenderaan akan melalui laluan itu, terutama perantau dari Kelantan pada hari raya ini," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-46 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata pembinaan lebuh raya sepanjang 17 kilometer tersebut dijangka akan menjimatkan perjalanan pengguna selama 40 minit, kerana tidak perlu lagi melalui bandar Raub.
"Walaupun lebuh raya tersebut belum siap sepenuhnya, kita harap pembukaan susur keluar ini akan memberi keselesaan kepada pengguna, terutama dari Pantai Timur," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata satu lagi seksyen yang berhampiran lebuh raya berkenaan, akan dibuka pada September depan melalui susur keluar persimpangan kawasan perindustrian Raub.
-- BERNAMA