Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dibuka sepenuhnya hari ini
Bernama
November 15, 2015 15:45 MYT
November 15, 2015 15:45 MYT
Semua lorong di kedua-dua arah di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dibuka kepada lalu lintas sejak pukul 12.30 tengah hari tadi, kecuali laluan sepanjang 100 meter dari lokasi kejadian banjir lumpur.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohd Mansor Mohd Noor berkata laluan sepanjang 100 meter dari lokasi kejadian ditutup bagi kerja-kerja akhir pembersihan dan pemantauan keselamatan, serta pemasangan tembok batu.
"Laluan 100 meter dari kedua-dua arah dibuka satu lorong tetapi tidak berselisih pada satu laluan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Sebelum ini, kejadian banjir lumpur pada petang Rabu lepas menyebabkan laluan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ditutup dan hanya dibuka semula satu lorong secara berperingkat di kedua-dua hala semalam bagi membolehkan pengguna jalan raya dari Pantai Timur menuju ke Kuala Lumpur dan arah sebaliknya.
Laluan kontra itu bermula di KM52.4 dan berakhir di KM50.0.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bentong dan juga Sekretariat Bencana Daerah Bentong, Mohd Zulkhairi Adek Awang berkata pemindahan penghuni kuarters Jabatan Perhutanan Negeri Pahang ke rumah masing-masing dijangka selesai esok.
"Namun ia bergantung kepada kemudahan asas seperti eletrik, air dan pembentungan sebelum mangsa dapat berpindah semula kediaman mereka," katanya kepada Bernama di sini.
Selain menyebabkan sebahagian lebuh raya itu di kedua-dua arah tidak boleh dilalui, insiden banjir lumpur itu menyebabkan 25 penghuni kuarter Jabatan Perhutanan Negeri Pahang terpaksa dipindahkan ke Masjid Lentang.