Lebuhraya Karak sesak 6 kilometer, treler terundur masuk longkang

Amirah Nordin
Mac 12, 2023 17:12 MYT
Kejadian itu berlaku jam 3 pagi dengan kemuncak kesesakan direkodkan pada jam 11.30 pagi. - Gambar/ PDRM
BENTONG: Kesesakan sepanjang kira-kira enam kilometer berlaku lebih 10 jam apabila sebuah treler muatan baja terundur dan terbabas ke dalam longkang di Kilometer 40.9 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian itu berlaku jam 3 pagi dengan kemuncak kesesakan direkodkan pada jam 11.30 pagi.
Katanya, treler tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dalam perjalanan dari Subang, Selangor menghala ke Kuala Terengganu untuk menghantar baja.
"Setibanya di tempat kejadian, treler berkenaan mengalami masalah brek dan pemandunya cuba memberhentikan kenderaan.
"Cubaan pemandu gagal dan treler berkenaan terus terundur ke belakang menyebabkan jentera berat ini terbabas ke tepi jalan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, bahagian kepala treler mengalami kerosakan dan tidak dapat dialihkan sehingga berlaku kesesakan lalu lintas kira-kira enam kilometer.
"Kemuncak kesesakan berlaku kira-kira 11.30 pagi kerana treler tersebut masih belum dialihkan namun pemilik treler telah dipanggil untuk tindakan lanjut.
"Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes ini disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59," katanya.
#Lebuhraya Karak #treler terbabas #kerosakan brek #Zaiham Mohd Kahar
;