Lebuh raya WCE 88 peratus siap - Nanta Linggi
Hasimi Muhamad
Julai 26, 2023 16:18 MYT
Julai 26, 2023 16:18 MYT
KUALA SELANGOR: Kemajuan projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) kini berada pada tahap 88 peratus siap.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jajaran sepanjang 233 kilometer yang menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.
Sementara bagi Seksyen 6, WCE projek berkenaan ketika ini telah mencapai 94 peratus siap, dan dijangka boleh digunakan pada Oktober ini.
Jelas beliau, pembinaan projek berkenaan mengalami kelewatan susulan isu luar jangka melibatkan pengambilan tanah.
"Itu pun belanja untuk pengambilan tanah pada mulanya hanya dianggarkan RM980 juta tapi akhirnya sebenarnya melebihi RM2 bilion. Tetapi semua ini sudah selesai.
"Cuma sekarang nak siapkan kerja-kerja penyiapan sahaja. Jadi isu pengambilan tanah sudah selesai. Difahamkan projek ini dapat siap dan Seksyen 6 WCE difahamkan akan siap pada bulan Oktober dan boleh dibuka untuk digunakan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan kemajuan kerja-kerja pembinaan projek tersebut, di sini pada Rabu.
Nanta menambah lebuh raya tersebut juga dijangka memberi manfaat besar dalam merancakkan industri pelancongan di kawasan berkenaan, serta membantu menarik lebih ramai pelancong ke destinasi pelancongan seperti Kuala Selangor.
Lebuh raya Seksyen 6, WCE dibina menggunakan standard R6 dengan dua lorong dua hala.
Ia dijangka menjimatkan masa perjalanan sehingga 30 minit antara bandar-bandar utama sekitar Klang, Shah Alam, Puncak Alam dan Kuala Selangor.