Lebuh raya Pesisiran Pantai Barat bakal ubah landskap pelancongan Perak
Bernama
Julai 18, 2023 21:33 MYT
Julai 18, 2023 21:33 MYT
IPOH: Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bakal mengubah landskap pelancongan di Perak, ia turut memudahkan akses kepada para pelancong dari dalam dan luar negara seiring dengan Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024).
Ketua Pegawai Eksekutif WCE, Lyndon Alfred Felix berkata pembukaan Seksyen 11 iaitu dari Beruas ke Taiping Selatan serta penghujung lebuh raya di Selangor akan melancarkan perjalanan pengguna meneroka destinasi menakjubkan dan tarikan unik yang ditawarkan di negeri tersebut.
"Kami teruja untuk mengumumkan projek di penghujung Lebuhraya WCE di Selangor ini termasuk Seksyen 1 (Banting - SKVE) dan Seksyen 2 (SKVE - SAE) serta Seksyen 6 (Kapar - Assam Jawa) yang dijadual siap menjelang akhir tahun ini.
"Lebuh raya ini bakal menyajikan perjalanan yang menarik sepanjang pesisiran pantai barat kepada kira-kira lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong luar negara ke destinasi pelancongan utama sepanjang jajaran pantai barat negeri Perak bermula dari Hutan Melintang ke Teluk Intan, Sitiawan ke Beruas, Trong dan penghujungnya Taiping Selatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lyndon Alfred berkata seiring dengan penganjuran TMP2024, lebuh raya WCE memainkan peranan penting dalam membantu memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan mencipta peluang baharu untuk komuniti setempat.
"Perhubungan lebuh raya yang efisien dan strategik ini pasti akan menjadikan negeri Perak sebagai destinasi wajib dikunjungi dalam kalendar para pelancong," katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad semasa merasmikan prapelancaran TMP2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata pihaknya optimis dengan projek WCE yang bakal disiapkan sepenuhnya di Perak akan berupaya membuka peluang yang lebih besar dalam memacu sektor pelancongan.
"Pembukaan WCE akan menjadi antara pintu masuk utama pelancong bermula dari Hutan Melintang, laluan lebuh raya ini akan membawa pelancong menelusuri negeri Perak melalui beberapa persimpangan susur keluar iaitu Teluk Intan yang terkenal dengan Menara Condong; Lekir, Sitiawan, Sitiawan Utara yang menjadi pintu masuk ke Pulau Pangkor.
"Selain itu, susur keluar Changkat Chermin dan Beruas pula akan membawa meneroka keunikan daerah Perak Tengah dan menulusuri sejarah kerajaan lama Gangga Negara dan seterusnya Trong serta Taiping Selatan iaitu laluan masuk ke Bandar Warisan Taiping yang turut menjadi tarikan utama pelancongan," katanya.
-- BERNAMA