Lebih separuh pinjaman perumahan di Selangor ditolak kerana tidak bayar PTPTN

T K Letchumy Tamboo
Ogos 1, 2016 14:38 MYT
Menurut Datuk Iskandar (gambar) penyenaraian nama dalam CCRIS perkara menjadi satu masalah kepada sesiapa yang ingin membeli rumah, terutamanya Rumah Mampu Milik Selangorku. - Gambar fail
Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah membuat permohonan kepada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melonggarkan syarat senarai hitam peminjam perumahan di negeri itu.
Exco Perumahan Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata ini adalah kerana lebih separuh daripada peminjam perumahan ditolak permohonannya setelah disenarai hitamkan kerana tidak membayar balik pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Datuk Iskandar menjelaskan perkara menjadi satu masalah kepada sesiapa yang ingin membeli rumah, terutamanya membabitkan projek rumah mampu milik, Rumah Selangorku.
"Sekiranya dalam satu projek, 60 peratus daripada mereka yang memohon pinjaman ditolak, daripada 60 peratus tersebut, separuh disenarai hitamkan sebab pinjaman PTPTN.
"Dalam mesyuarat jawatan kuasa tetap, kita hendak mencadangkan supaya (senarai hitam PTPTN) jangan dimasukkan di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
"Maka, kita sudah menulis surat melalui Lembaga kepada Bank Negara supaya dilonggarkan syarat senarai hitam," katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar yang ingin tahu adakah kerajaan negeri telah berbincang dengan pihak Bank Negara mengenai masalah pinjaman perumahan yang susah diluluskan.
Selain itu, Datuk Iskandar berkata jawatankuasanya akan mencadangkan satu kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengenai tindakan yang perlu dilakukan kepada pemaju-pemaju yang ingkar membina Rumah Selangorku walaupun setelah diberi kelulusan.
Katanya, terdapat 14 projek yang diluluskan di bawah insentif pembinaan Rumah Selangorku yang merangkumi 20,008 unit kediaman di mana satu projek telah siap dibina, 11 projek masih dalam pembinaan dan dua lagi projek belum dibina.
#CCRIS #Datuk Iskandar Abdul Samad #Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional #PTPTN
;