Lebih sejuta rakyat nikmati inisiatif Payung Rahmah sejak diperkenalkan - Salahuddin

Bernama
Julai 15, 2023 20:15 MYT
Salahuddin (tiga, kanan) bergambar bersama produk Rahmah selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah Bersama Zero Healthcare Sdn Bhd, hari ini. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Lebih sejuta rakyat di negara ini khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar telah menikmati manfaat inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak April lepas.
Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata susulan kejayaan itu, KPDN sedang merancang menyediakan Pelan Ekonomi Rahmah dalam masa terdekat bagi mengevolusikan pelbagai program khusus kepada golongan sasar sekali gus membantu mengurangkan beban kos sara hidup mereka.
"Satu berita gembira, KPDN telah mengenal pasti hampir 1,000,100 penerima ataupun rakyat yang telah mendapat manfaat daripada inisiatif Payung Rahmah sejak April hingga semalam. Kita sedang ke arah menyediakan Pelan Ekonomi Rahmah dengan beberapa industri yang terus menyokong inisiatif ini.
"Pelan ini melengkapi inisiatif Payung Rahmah dan dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal Ogos depan," katanya selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah bersama Zero Healthcare Sdn Bhd di Paradigm Mall Johor Bahru di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pulai itu berkata Zero Healthcare merupakan syarikat pengeluar peralatan kesihatan seperti mesin urut, mesin berlari dan peralatan gim berjenama Malaysia dengan menawarkan pembelian secara ansuran tetap dan potongan harga hingga 35 peratus.
"Ini merupakan satu perkembangan positif bagi mereka yang sangat menjaga kesihatan untuk memperoleh mesin dengan harga Rahmah. Saya berharap lebih ramai industri penjagaan kesihatan tampil memberikan sumbangan mereka terhadap inisiatif Payung Rahmah," katanya.
Menerusi inisiatif Payung Rahmah, Zero Healthcare menawarkan dua produk iaitu mesin kerusi urut pada harga RM1,999 berbanding harga asal RM2,999, manakala mesin berlari (threadmill) pula dijual pada RM899 berbanding harga asal RM2,988.
Berhubung kerajaan memberi kelulusan kepada 37 syarikat mengimport 285,700 tan metrik bekalan gula putih bertapis sepanjang tahun ini, Salahuddin berkata langkah itu bukan penanda aras atau kayu pengukur masalah bekalan gula tempatan, sebaliknya hal itu adalah perkara biasa.
"Tiada apa yang pelik apabila kita meluluskan gula dalam bentuk 50 kilogram itu dijual kepada pihak industri dan ia tidak menjadi masalah, yang penting kita bantu syarikat ini dari segi kesulitan mereka termasuk isu pekerjaan asing. Lagipun setakat ini, gula pasir kasar dan halus masing-masing masih dijual pada harga RM2.85 dan RM2.95," katanya.
Semalam, media melaporkan KPDN dalam satu kenyataan memaklumkan kelulusan itu merupakan satu langkah proaktif bagi memastikan kestabilan bekalan gula dengan memudah cara proses kelulusan permit import (AP) gula putih bertapis.
Sementara itu, Salahuddin berkata KPDN memberi jaminan untuk mengatasi aduan kekurangan bekalan gula dalam tempoh hanya beberapa jam selepas aduan dibuat bagi memastikan tiada pengguna di negara ini berdepan masalah bekalan gula, walaupun mereka menetap di kawasan luar bandar.
"Saya akui kadang-kadang berlaku kekurangan bekalan di beberapa lokasi, misalnya di Johor Bahru, Alor Setar (Kedah) atau Limbang (Sarawak), maka teruslah buat laporan kepada KPDN dan kita akan cuba sediakan bekalan dalam tempoh beberapa jam sahaja," katanya.
-- BERNAMA
#Payung Rahmah #golongan B40 #kpdn #Salahuddin Ayub
;