Lebih sejuta rakyat Malaysia kunjungi Thailand antara Jan hingga Okt
Bernama
Disember 14, 2022 05:05 MYT
Disember 14, 2022 05:05 MYT
BANGKOK: Thailand menerima lebih sejuta pelancong Malaysia sejak pembukaan semula sempadan antara kedua-dua negara tahun ini.
Pengarah Eksekutif Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) ASEAN, Asia Selatan dan Rantau Pasifik Selatan, Sukanya Sirikanjanakul berkata rakyat Malaysia mendahului angka ketibaan pelancong ke negara itu untuk tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
"Statistik menunjukkan ramai rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke Thailand melalui sempadan darat sama ada dengan bas, kereta api atau kenderaan persendirian," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Penguasa Pelancongan Thailand (TAT) Kuala Lumpur, Nongyao Jirundorn berkata jumlah pelancong Malaysia ke Thailand dijangka mencecah 1.8 juta menjelang akhir tahun ini.
"Malaysia merupakan antara sumber penting pelancong asing ke Thailand dengan kuasa beli yang tinggi," katanya selepas melepaskan sekumpulan 60 pemilik kereta mewah Malaysia ke Thailand untuk perjalanan darat selama 13 hari dari Songkhla ke Chiang Rai, merangkumi jarak perjalanan sejauh 5,062 kilometer.
Nongyao berkata kumpulan itu memulakan perjalanan pada 12 Dis dan dijangka pulang ke tanah air pada 23 Dis.
"Perjalanan menggunakan jalan darat merupakan cara lain untuk pelancong meneroka Thailand," katanya.
-- BERNAMA