Lebih sejuta pelancong Thailand dijangka kunjungi Malaysia tahun depan
Adie Sufian Zulkefli
November 18, 2023 09:27 MYT
November 18, 2023 09:27 MYT
HATYAI: Kerajaan menyasarkan lebih satu juta pelancong dari Thailand akan datang ke negara ini pada tahun hadapan untuk bercuti di samping menikmati pelbagai tempat, budaya dan juadah istimewa yang disediakan di negara ini.
Ini berikutan jaringan kerjasama dalam sektor pelancongan antara Malaysia dan Thailand dilihat begitu erat dan rancak sehingga kedua-duanya sering dijadikan destinasi pelancongan rakyat kedua-dua negara.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, selepas penularan pandemik COVID-19 semakin berkurangan, pelancong dari Malaysia adalah yang paling ramai memasuki Thailand untuk bercuti.
“Dari awal tahun ini sehingga Oktober lalu, Thailand menerima kemasukan seramai tiga juta pelancong dari Malaysia manakala pelancong Thailand yang datang ke Malaysia pula dianggarkan berjumlah 700,000 orang.
"Wujud perbezaan dari segi angka, namun kita merasakan bahawa kita perlu mempromosikan pelbagai destinasi pelancongan di negara kita dengan lebih giat lagi.
“Destinasi pelancongan di Malaysia mempunyai banyak tarikan dan walaupun masih lagi wujud kerisauan dalam kalangan rakyat Thailand berhubung situasi COVID-19 di negara kita, ia sebenarnya tidak memberi kesan.
"Ini kerana, berdasarkan pasaran dan pergerakan mereka ke negara kita, ia semakin memberangsangkan," katanya pada majlis perasmian Malaysia Festival 2023 di sebuah pusat membeli belah di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, Ahmad Fahmi berkata, memandangkan terdapat Tahun Melawat Perlis 2024-2025 mulai tahun depan, serta program sama di beberapa negeri lain, pihaknya berharap akan menerima ketibaan lebih ramai pelancong Thailand tahun hadapan.
"Kita menjangkakan lebih satu juta pelancong daripada Thailand akan mengambil peluang untuk bercuti ke negara kita pada waktu itu. Malah, itu adalah angka yang kita sasarkan pada tahun hadapan,” tambahnya.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencemar duli merasmikan majlis tersebut.
Turut sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Gabenor Wilayah Songkhla Somnuk Promkeaw, Datuk Bandar Hatyai Sakorn Thongmunee dan Konsul Jeneral Negara Indonesia dan China.
Ahmad Fahmi berkata, penganjuran festival berkenaan sangat tepat dalam usaha kerajaan mempromosi bukan sahaja barangan tempatan tetapi destinasi pelancongan, terutamanya di Perlis.
“Seperti yang kita ketahui, Perlis adalah sebuah negeri yang sangat berdekatan serta bersempadanan dengan Thailand dan kita dapati ramai pelancong Thailand gemar memasuki negara kita melalui jalan darat.
“Negeri yang bersempadan dengan Thailand seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan mempunyai potensi besar untuk menarik lebih banyak pelancong Thailand datang ke Malaysia tahun hadapan,” katanya.
Beliau hadir mengiringi Tuanku Syed Faizuddin merasmikan Malaysia Festival 2023 yang menyaksikan lebih 10 pempamer pelancongan dari Perlis, Melaka, Perak dan Majlis Bandaraya Seremban mengambil bahagian.
Baginda yang turut mempromosikan Perlis dalam festival itu bertitah, faktor kekuatan matawang Thailand Baht berbanding Ringgit Malaysia pada waktu ini mampu membawa pelancong Thailand ke Malaysia.