Lebih RM400,000 wang syarikat pelancongan masuk akaun bank bekas MB Perlis - Saksi

Bernama
Ogos 1, 2024 11:11 MYT
Azlan (kiri) hadir bagi perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat kemasukan wang berjumlah RM447, 216.35 ke dalam dua akaun CIMB milik bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man pada 2016 dan 2017.
"Cek bernilai RM224,404.40 dimasukkan ke dalam akaun CIMB jenis semasa I-Wadiah milik Azlan pada 2 Feb 2016 dan cek bernilai RM222,811.95 ke dalam akaun CIMB jenis semasa pada 3 April 2017," kata saksi pendakwaan keempat itu.
Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi pada hari ketiga perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.
Disoal peguam Burhanudeen Abdul Wahid, yang mewakili tertuduh, Jespall bersetuju bahawa penyata akaun bank Azlan yang dikemukakan di mahkamah bukan dokumen asal sebaliknya cetakan daripada sistem komputer bank yang merupakan rekod dokumen asal.
"Setelah akaun dibuka oleh pelanggan, pihak bank akan menghantar dokumen ke ibu pejabat untuk dimasukkan ke sistem rekod bank tersebut. Justeru, semua maklumat adalah disahkan asli," katanya.
Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Azlan sebelum ini turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017 di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini antara 19 Feb 2014 dan Dis 2017.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan boleh didenda lima kali nilai hasil atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 19 Ogos depan.
-- BERNAMA
#kemasukan wang ke akaun #Bekas Menteri Besar Perlis #pengubahan wang haram #tuntutan palsu #Azlan Man