Lebih RM23,000 kompaun dikeluarkan terhadap 97 perokok ingkar
Bernama
September 24, 2019 04:55 MYT
September 24, 2019 04:55 MYT
Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengeluarkan kompaun berjumlah RM23,650 kepada 97 perokok termasuk 11 warga asing dan tiga perokok bawah umur dalam operasi anti-merokok pada Selasa.
Seramai 87 anggota jabatan itu dan wakil Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai terlibat dalam 'Ops Penang Sihat 10/2019' itu yang dilaksanakan bermula dari pukul 8.00 pagi sehingga 4.30 petang.
Ketua penguatkuasa Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Ong Ang Guan berkata tiga perokok bawah umur itu ditangkap dalam operasi yang dijalankan di stesen KTM Butterworth dan sebuah pasar raya di sini.
"Tiga perokok bawah umur itu dikenakan kompaun RM50 seorang, sementara 94 perokok ingkar yang lain dikenakan kompaun RM250 seorang, mengikut Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan diberikan masa sebulan untuk melunaskan denda," katanya kepada Bernama selepas operasi tersebut.
Katanya, mereka yang gagal berbuat demikian dalam tempoh berkenaan akan didakwa di mahkamah.
-- BERNAMA
#bawah umur
#denda
#ingkar
#jabatan kesihatan
#kompaun
#Majlis Bandaraya Pulau Pinang
#Ong Ang Guan
#operasi anti-merokok
#Ops Penang Sihat
#perokok
#pulau pinang
#stesen KTM
#warga asing