Lebih RM2 juta diperuntuk untuk program Wanita Bangkit - Nancy Shukri
Bernama
Ogos 6, 2023 05:15 MYT
Ogos 6, 2023 05:15 MYT
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), setakat ini telah memperuntukkan lebih RM2 juta bagi membantu kaum wanita keluar dari kepompong kemiskinan menerusi program Wanita Bangkit.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata sejak program itu dianjurkan pada Januari lepas, sehingga kini sejumlah 6,651 peserta yang terjejas sumber pendapatan mereka, telah menyertainya.
"Melalui program ini, peserta akan diberikan bimbingan dan bantuan tunai berjumlah RM500, yang akan dimasukkan ke akaun masing-masing sebagai modal permulaan untuk memulakan peniagaan.
"Selepas tiga bulan, peserta akan dipantau oleh pihak sukarelawan, bagi melihat perkembangan semasa peserta, selain melihat keberkesanan program tersebut dalam membantu peserta menambah sumber pendapatan dari perniagaan yang dijalankan," katanya ketika berucap pada majlis Program keusahawan Wanita Bangkit di sini, pada Ahad.
Nancy berkata di Sarawak, sebanyak 11 program sedemikian telah dianjurkan, dengan 4,823 peserta telah menyertai program itu.
"Selepas ini, program Wanita Bangkit akan dianjurkan di Limbang. Kita mahu semua wanita berjaya, yakin dan terus berusaha untuk memajukan diri keluarga, bangsa dan negara," katanya.
-- BERNAMA