Lebih RM2 juta diperuntuk iktiraf kepentingan, sumbangan wanita Sabah
Eleanor Michelle Patrick
Disember 5, 2021 11:05 MYT
Disember 5, 2021 11:05 MYT
KOTA KINABALU: Sebanyak RM1.83 juta diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) dan RM700,000 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dalam Belanjawan 2021, bagi projek serta program pembangunan wanita tempatan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan itu sebagai bukti kerajaan negeri terus mengiktiraf kepentingan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negeri ini.
Katanya, golongan wanita, seperti juga lelaki, turut menggalas tanggungjawab yang sama penting sebagai pemangkin pembangunan dan rakan kongsi strategik kerajaan dalam mencapai hala tuju pembangunan negeri, khususnya berkaitan wanita di negeri ini.
“Justeru, kerajaan negeri akan terus memberi peruntukan bagi pembangunan dan menghargai kepentingan wanita dalam pembangunan di negeri ini.
"Sambutan Hari Wanita yang diadakan pada setiap tahun adalah tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingan dan sumbangan wanita di negeri ini, terutama ketika pandemik COVID-19.
“Kerajaan akan terus berusaha memastikan golongan wanita di Sabah sama ada di bandar atau luar bandar, berdaya saing dan mempunyai daya kreativiti serta inovasi yang tinggi, agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dalam mendokong aspirasi kerajaan,” katanya di sini semalam.
Terdahulu beliau merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2021 di Sabah International Convention Centre (SICC).
Sehubungan itu, Hajiji berkata, Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) perlu berganding bahu demi pembangunan wanita di Sabah dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada MPWS atas dua inisiatif yang memberi manfaat besar kepada wanita negeri ini iaitu Program Creating Millionaires Among Young Women Entrepreneurs (CreaM@YWE) dan Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (AKWan).
“Saya dimaklumkan menerusi program CreaM@YWE, seramai 50 lagi usahawan wanita muda akan menyertai program ini pada tahun depan, susulan kejayaan program yang pertama pada tahun 2018.
"Saya berharap lebih ramai usahawan yang berdaya maju dan komited dapat dilahirkan sekali gus menyahut seruan menjadi majikan atau “Job Creator”.
“Begitu juga menerusi projek AKWan yang julung kali di Sabah, ia akan menjadi platform untuk memperkasa wanita di negeri ini menerusi pelbagai program serta modul kepimpinan.
"Projek ini akan membabitkan pemimpin politik, korporat, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti bandar dan luar bandar serta pemimpin muda,” katanya.
Beliau yakin dengan adanya projek ini, pembangunan negeri Sabah, khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), akan lebih maju dengan penglibatan wanita dalam kepimpinan dan membuat keputusan.
Turut hadir isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong; Pengerusi MPWS, Datuk Dr Tarsiah TZ Taman merangkap Pengerusi Induk Majlis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri dan Pengarah JHEWA, Rusnah Kuyung.