Lebih RM125.5 juta BWI diagihkan setakat semalam - PM
Hasimi Muhamad
Januari 20, 2022 12:01 MYT
Januari 20, 2022 12:01 MYT
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM125.5 juta telah disalurkan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) kepada negeri-negeri terjejas akibat banjir, setakat semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peruntukan itu bagi tujuan pengagihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah.
"Sehingga 18 Januari 2022, bagi mangsa-mangsa yang berpindah ke PPS, prestasi pengagihan adalah
sebanyak 97.3 peratus, daripada bilangan KIR yang layak bagi gelombang pertama banjir (meliputi lapan buah negeri).
"Manakala prestasi pengagihan bagi gelombang kedua adalah sebanyak 57.3 peratus meliputi negeri Terengganu, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Sabah dan Johor.
"Bagi mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS, prestasi pengagihan adalah sebanyak 50.8 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan berhubung Bantuan Bencana Banjir pada Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas Perdana Menteri lagi, NADMA turut menyalurkan RM25 juta kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) menggunakan tabung KWABBN bagi tujuan pengagihan bantuan tersebut kepada KIR yang layak.
Bantuan tersebut telah mula diberikan sejak 8 Januari lalu, dan peruntukan tambahan diberikan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan semasa.