Lebih RM10 bilion diluluskan untuk permohonan SJKP sejak 2008
Bernama
Julai 1, 2024 21:45 MYT
Julai 1, 2024 21:45 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 50,884 permohonan pinjaman Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bernilai RM10.894 bilion telah diluluskan sejak 2008 hingga 30 April lepas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Ringkasan AI
- Sebanyak 50,884 permohonan pinjaman Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bernilai RM10.894 bilion telah diluluskan sejak 2008 hingga 30 April 2023.
- Kerajaan komited menyediakan rumah mampu milik melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Mesra Rakyat (RMR) untuk golongan B40, dan kediaman SPNB serta PR1MA untuk golongan M40.
- Mulai tahun lepas, harga jualan PPR baharu ditetapkan pada RM45,000 seunit dan kadar sewa pada RM200-250 seunit; kerajaan menanggung subsidi RM20,000 bagi setiap unit RMR untuk golongan B40.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 11,422 permohonan dengan nilai pinjaman RM2.51 bilion telah diluluskan setakat 30 April lepas bagi pelaksanaan SJKP MADANI tahun ini.
"Melalui inisiatif ini, kerajaan memberi jaminan pembiayaan rumah sehingga RM500,000. Ini termasuk jumlah pembiayaan pokok, Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji (MRTA) atau Takaful Gadai Janji (MRTT), yuran guaman dan yuran penilaian.
"Pembiayaan adalah terhad kepada rumah pertama. Bagaimanapun, pembiayaan ini tidak terhad untuk kediaman baharu sahaja tetapi termasuk juga rumah dalam pasaran sekunder," katanya.
Nga berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Laporan Tahunan serta Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tahun 2021 dan 2022 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata KPKT terus komited dalam menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) untuk golongan B40 manakala kediaman Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan PR1MA untuk golongan M40.
Nga berkata sejak PPR diperkenal pada 1982 sehingga kini, sebanyak 202 PPR meliputi 115,039 unit kediaman telah diluluskan pembinaannya dengan 164 projek membabitkan 101,516 unit sudah siap dibina.
"Sejumlah 19 projek dengan jumlah 7,517 unit rumah masih dalam pembinaan manakala 19 projek melibatkan 6,006 unit rumah masih dalam perancangan.
"Mulai tahun lepas, KPKT tetapkan harga jualan PPR dimiliki yang baharu (keluasan 750 kaki persegi) pada harga RM45,000 seunit manakala bagi PPR disewa, kadar sewa ditetapkan RM200 seunit bagi rumah atas tanah dan RM250 bagi rumah berstrata termasuk yuran penyelenggaraan," katanya.
Beliau berkata bagi golongan B40 yang memiliki tanah sendiri atau tanah milik ahli keluarga yang diberikan kebenaran, sebanyak 67,405 unit kediaman RMR telah diluluskan pelaksanaannya dan daripada jumlah itu, sejumlah 65,610 unit telah siap dibina manakala 1,442 unit dalam pembinaan dan 531 dalam perancangan.
"Kerajaan MADANI menanggung subsidi sebanyak RM20,000 bagi setiap unit RMR supaya kos ditampung pemilik rumah adalah lebih rendah daripada harga pasaran serta kos pembinaan dan ia boleh dimanfaatkan oleh golongan B40," katanya.
Nga berkata bagi kediaman mampu milik M40 di bawah SPNB, terdapat 53 projek dengan 31, 069 unit kediaman telah diluluskan untuk dibina di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 48 meliputi 29,256 unit sudah siap dibina manakala dua projek dengan 351 unit masih dalam pembinaan setakat 31 Mei lepas.
-- BERNAMA