Lebih RM1.5 bilion diperuntuk atasi masalah banjir Kelantan
Vivi Sumanti
Jun 16, 2022 12:46 MYT
Jun 16, 2022 12:46 MYT
KOTA BHARU: Sejumlah lebih RM1.5 bilion telah diluluskan untuk Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dan tebatan banjir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek tersebut dilaksanakan melalui dua fasa utama, melibatkan kos RM656 juta untuk fasa pertama yang dijangka siap pada 2024.
Fasa kedua pula pada asalnya diluluskan dengan kos RM465 juta dan dijangka siap pada 2028, dengan skop projek termasuk pembinaan Floodwall Rantau Panjang, pengambilan tanah dan beberapa komponen bukan fizikal.
"Fasa pertama merangkumi skop antaranya pembinaan ban banjir Sungai Golok (26.2km), pembinaan pemecah ombak (dyke), pembinaan ban Sungai Mentua (8.1km), pembinaan outlet gate Kuala Jambu dan penambahbaikan ban banjir (right bank) Sungai Lanchang Lemal (19.8km)," katanya menerusi satu kenyataan.
Mustapa memaklumkan, kerajaan Persekutuan melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri pada Mei lalu meluluskan permohonan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi peluasan skop projek pembinaan PLSB Sungai Golok.
Ia melibatkan projek fasa dua dengan kos tambahan RM414 juta iaitu peningkatan daripada RM465 juta kepada RM879 juta.
"Kelulusan kos tambahan ini adalah berdasarkan penjimatan beberapa projek lain di bawah KASA yang tidak dapat dibelanjakan.
"Peluasan skop ini melibatkan pembinaan ban banjir (left bank) Sungai Lanchang Lemal (20km), pembinaan ban banjir Sungai Golok dari Kampung Kedotak ke Sungai Lanas (21km), pembinaan ban banjir Sungai Golok dari Kampung Lanchang ke Kampung Kedotak (19km) dan pembinaan empat rumah pam," katanya.
Sehingga 14 Jun lalu, katanya, pelaksanaan fasa satu PLSB Sungai Golok menunjukkan prestasi yang amat baik, iaitu sebanyak 56% kemajuan fizikal berbanding dengan jadual sebanyak 34%.
Manakala fasa dua sedang berada di peringkat pra-pelaksanaan, tambahnya.
Mustapa berkata, kedua-dua fasa PLSB Sungai Golok itu dijangka dapat mengatasi masalah banjir yang sering dihadapi penduduk di sepanjang lembangan berkenaan.
Projek tersebut juga dijangka memberi manfaat kepada lebih 40,000 penduduk di kawasan berkenaan.