Lebih ramai remaja perlu dilibatkan dalam kelab anti-jenayah

Bernama
November 11, 2018 21:07 MYT
Lee berkata ibu bapa perlu memberi pendidikan agama sejak kecil supaya anak-anak menyedari setiap perkara yang dilakukan sama ada betul ataupun salah. - Gambar fail
Lebih ramai remaja perlu dilibatkan dalam kelab anti-jenayah dalam usaha memberi pendedahan kepada golongan itu tentang keburukan melakukan jenayah disamping menggalakkan mereka melakukan kenaikan.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata kempen kesedaran terhadap kes-kes jenayah juga harus didedahkan pada peringkat awal usia bagi mengelakkan remaja daripada terjerumus ke dalam perbuatan jenayah seperti penyalahgunaan dadah .
"Dengan kes penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa, ibu bapa harus memainkan peranan sepenuhnya perlu bijak dalam mendidik anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam kebejatan sosial seperti penyalahgunaan dadah," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata ibu bapa perlu memberi pendidikan agama sejak kecil supaya anak-anak menyedari setiap perkara yang dilakukan sama ada betul ataupun salah.
"Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah ibu bapa kalut mengambil tindakan.
"Melentur buluh biarlah dari rebungnya merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh setiap ibu bapa yang dalam mengajar dan mengatur kehidupan anak-anak mereka," katanya.
-- BERNAMA
#Dadah #ibu bapa #jenayah #Lee Lam Thye #pendidikan #pendidikan agama #remaja #Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia