Lebih ramai penduduk kampung sertai operasi mencari Dennis Lee - kedutaan
Bernama
April 16, 2015 08:25 MYT
April 16, 2015 08:25 MYT
Lebih ramai penduduk tempatan dan pengembara menyertai operasi mencari pengembara warga Malaysia yang hilang semasa melakukan pengembaraan di Nepal, meskipun masih dalam suasana sambutan Tahun Baharu rakyat Nepal.
Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Kathmandu Fadli Adilah berkata berita mengenai kehilangan Dennis Lee Thian Poh, 47, dan ganjaran penemuanya tidak putus-putus disebarkan melalui akhbar tempatan, radio dan stesen televisyen sekali gus menyebabkan peningkatan kumpulan pencari.
"Ganjaran ini bertujuan menjadi satu insentif dan diharapkan lebih ramai penduduk (tempatan) menyertai pasukan mencari.
"Penduduk tempatan lebih mengetahui kawasan mereka, rupa bumi, cuaca dan keganjilan lain," kata dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, keluarga Lee mengumumkan ganjaran sebanyak US$2,000 (RM7,413) kepada mana-mana individu atau kumpulan yang boleh membantu dalam usaha menjejaki mangsa.
Fadli berkata kedutaan juga secara berterusan bertemu dan merayu kepada pihak berkuasa Nepal termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri,Polis Nepal dan Kementerian Pelancongan Nepal untuk merek terus menghulurkan bantuan.
Beliau berkata, kini pencarian Lee memasuki hari ke-11 melibatkan 60 orang dan beberapa ekor anjing pengesan dan akan tetap diteruskan meskipun berdepan cuaca buruk, sejak Isnin.
"Semalam adalah Tahun Baharu 2072 rakyat Nepal, kita berdoa ia akan membawa harapan baharu dan hasil yang baik tidak lama lagi atas usaha berterusan kami mencari Encik Dennis Lee," katanya.
Lee, menyertai lapan rakannya dari Filipina mengikuti pengembaraan di sirkit Annapurna di Nepal pada 5 April lepas.
Kumpulan berkenaan hanya menyedari kehilangannya ketika berada di trek Khopra Danda di kawasan Ghorepani pada Ahad, hari pertama pendakian mereka.
BERITA BERKAITAN : Pakej murah antara sebab keselamatan pendaki tergadai - Ravi Everest
BERITA BERKAITAN : 'Pendaki di Nepal berdepan risiko kemalangan, diculik pemberontak'