Lebih ramai pendakwah akan dilatih bahasa isyarat - Jakim

Azyyati Ahmad
November 28, 2016 14:42 MYT
PAIMUZI: Antara masalah yang dihadapi golongan pekak adalah, tidak banyak kelas agama yang dapat dihadiri golongan tersebut kerana kurangnya guru yang boleh berbahasa isyarat. - fotoBERNAMA/Fail
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersedia melatih lebih ramai pendakwah mendalami bahasa isyarat dalam memberi kelas agama kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) pekak.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, Paimuzi Yahya ia juga adalah sebagai kesinambungan pendidikan agama, selepas mereka meninggalkan bangku sekolah.
Beliau berkata setakat ini, seramai 45,000 golongan pekak di Malaysia, dan majoritinya adalah beragama Islam.
Antara masalah yang dihadapi mereka adalah, tidak banyak kelas agama yang dapat dihadiri golongan tersebut kerana kurangnya guru yang boleh berbahasa isyarat.
"Kita ada pusat latihan dan kemudahan kerana masalah utama mereka ini adalah mereka tiada guru yang boleh menterjemah bahasa isyarat.
"Jadi kita boleh melatih para pendakwah kita, guru-guru agama kita, agar mereka dapat mendalami bahasa ilmu bahasa isyarat ini agarmereka dapat mengajar masyarakat pekak muslim ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sempena Persidangan Antarabangsa Orang Pekak Islam Kali ke-2 bertemakan 'Islam Untuk Orang Pekak: Komuniti Kita, Masa Depan Kita' di Hotel Istana, Kuala Lumpur.
Persidangan selama tiga hari itu dihadiri lebih 250 perwakilan termasuk dari Arab Saudi, Amerika Syarikat, United Kingdom, Somalia, Kuwait, Palestin dan Turki.
#Jabatan Kemajuan Islam Malaysia #JAKIM #OKU #Paimuzi Yahya #pekak
;