Lebih ramai pelancong dari India dijangkakan berikutan perjanjian udara baharu

Bernama
April 5, 2017 21:43 MYT
Lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak itu menyaksikan beberapa perjanjian bilateral ditandatangani yang menarik projek dan pelaburan bernilai US$36bil (RM159.26bil). Gambar fail
Lebih ramai pelawat dari India dijangkakan ke negara ini, begitu juga sebaliknya, berikutan Perjanjian Perkhidmatan Udara yang diperbaharui antara dua negara.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan yang baru saja berakhir ke India, berkata perjanjian baharu itu meningkatkan jumlah kerusi bagi syarikat penerbangan masing-masing negara dari 20,000 ke 22,000 seminggu.
"Perjanjian Perkhidmatan Udara itu ditandatangani pada 1967. Kali ini kita tandatangani sekali lagi bagi menambah jumlah kerusi syarikat penerbangan.
"Ini kemajuan kecil tetapi akan menggalakkan industri pelancongan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pesta, 'Blossom Arts Festival Malaysia 2017' di Wisma MCA sini hari ini.
Lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak itu menyaksikan beberapa perjanjian bilateral ditandatangani yang menarik projek dan pelaburan bernilai US$36bil (RM159.26bil).
Liow berkata kementeriannya sedang mengkaji untuk menambah jumlah kerusi bagi sektor berkenaan kepada 62,000 seminggu.
Menurut pengerusi Majlis Perundingan Budaya dan Kesenian China Malaysia, Datin Paduka Chew Mei Fun, pesta itu tahun ini yang akan berlangsung sepanjang Ogos di Wisma MCA, akan menampilkan himpunan lebih besar para artis, ahli seni dan kraf dari pelbagai latar belakang budaya dan genre. -- BERNAMA
#India #Liow Tiong Lai #Najib Razak #pelancong
;