Lebih ramai pegawai perubatan dijangka dihantar ke Filipina

Aizat Sharif
November 16, 2013 14:58 MYT
Lebih ramai pegawai perubatan dijangka akan dihantar menyertai misi kemanusiaan di Filipina setelah negara itu dibadai bencana Taufan Haiyan, minggu lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata pihaknya kini berada dalam keadaan siap siaga dalam membekalkan doktor dan pegawai perubatan tambahan jika diperlukan pasukan sukarelawan yang dihantar ke sana.
"Kita sedia menghantar lebih ramai doktor dan pegawai perubatan jika diperlukan," katanya kepada Astro AWANI selepas perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita MIC Kebangsaan di sini pagi tadi.
Tambahnya lagi, "Ini bagi memastikan misi sukarelawan kita seperti KP1M berjaya mencapai matlamatnya bagi membantu negara jiran yang dilanda bencana itu,".
Penyertaan pasukan perubatan dari Malaysia dalam misi-misi seperti itu menunjukkan negara ini komited dan sentiasa peka terhadap sebarang bencana yang menimpa negara serantau.
Rabu lalu, dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diterbangkan ke Tacloban, Filipina, bagi membawa bantuan perubatan, pengangkutan dan makanan dalam misi bantuan kemanusiaan segera Malaysia berikutan bencana itu.
Pesawat Hercules C-130, berlepas dari Pengkalan Udara TUDM Subang dengan membawa 23 pegawai perubatan, pasukan paramedik dan anggota sokongan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), KP1M serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Seramai 40 sukarelawan KP1M membabitkan doktor, pasukan paramedik dan media dihantar ke sana bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa taufan berkenaan.
Selain KP1M, SMART dan ATM, Mercy Malaysia turut menghantar pasukan sukarelawannya minggu lalu. Majlis Belia Malaysia (MBM) juga dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.
Taufan Haiyan, taufan kategori lima dengan kelajuan melebihi 300 km/j membadai Filipina khususnya wilayah Kepulauan Visayas, 8 November lalu, menyebabkan 650,000 hilang tempat tinggal dan 9.8 juta terjejas.
Angka korban pula dipercayai melebihi 10,000 orang dengan Tacloban, ibu kota Leyte yang mempunyai 220,000 populasi terjejas teruk, termasuk lapangan terbangnya yang bergantung kepada penjanakuasa elektrik.
#Doktor #Filipina #Haiyan #Menteri Kesihatan #MIC #pegawai perubatan #S.Subramaniam #sukarelawan #taufan
;