Lebih ramai pegawai kerajaan, swasta berpangkat jadi buruan SPRM - Azam Baki
Astro Awani
Ogos 17, 2016 08:40 MYT
Ogos 17, 2016 08:40 MYT
Lebih ramai pegawai berpangkat di sektor awam mahupun swasta akan disiasat dalam tempoh terdekat.
Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Azam Baki berkata, siasatan akan dilakukan secara menyeluruh sehingga kesemua hasil suapan dipulangkan kepada kerajaan.
Tegasnya usaha menjejaki inidividu terlibat rasuah sama ada di sektor awam dan swasta adalah menjadi misi utama SPRM kini.
“Saya tidak menolak kemungkinan besar akan ada lagi tindakan-tindakan yang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Astro AWANI pada Selasa.
Mengulas mengenai penahanan tiga inidividu berprofil tinggi pada Isnin, Azam berkata mereka disiasat secara berasingan dan tiada sebarang kaitan antara satu sama lain.
“Ketiga-tiga kes ini tiada kaitan antara satu sama lain, setiap individu yang ditahan dan disiasat oleh SPRM, disiasat atas kesalahan masing-masing, dan tidak benar jika ada pihak yang menyatakan bahawa kes ini ada kaitan antara satu sama lain.
“Proses akan diteruskan sepertimana yang telah kita beritahu, semua aset-aset yang terlibat dan disyaki adalah merupakan aset-aset yang diperolehi secara jenayah akan dibekukan SPRM, dan kita akan meneruskan tindakan sehingga harta-harta ini menjadi milik kerajaan,” katanya lagi.
Azam berkata ketiga-tiga inidividu terbabit telah melakukan kesalahan rasuah tersebut sejak beberapa tahun lalu berdasarkan siasatan ke atas data keluar masuk kewangan dan aset yang dimiliki.
SPRM juga akan melanjutkan tempoh reman sehingga 15 hari bagi ketiga-tiga mereka sekiranya masih gagal mendapatkan bukti kukuh bagi tujuan pendakwaan.