Lebih ramai kakitangan profesional diperlukan dalam PDRM

Rahimah Abdullah
September 8, 2016 16:47 MYT
Antara bidang profesional yang terlibat termasuk akauntan, Teknologi Maklumat (IT), pengurusan kewangan, dan kaunseling. - Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan lebih ramai kakitangan profesional dalam badan itu bagi mengurangkan beban kerja anggota sedia ada.
Pengarah Pengurusannya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, langkah itu sekali gus memastikan anggota polis mampu menumpukan kepada tugas-tugas mereka dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.
"Sekarang ini seperti yang semua sedia maklum, kerajaan sedang membekukan, terutama pegawai awam. Pengambilan anggota polis kita masih teruskan, tetapi untuk pegawai-pegawai awam di jabatan-jabatan lain telah dihentikan penambahan walaupun ada kekosongan," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Pegawai Awam PDRM ke-10 di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini hari ini.
Antara bidang profesional yang diperlukan termasuk bidang akaun, Teknologi Maklumat (IT), pengurusan kewangan, dan kaunseling.
Jelasnya, walaupun PDRM kini sudah dilengkapi dengan sistem pengkomputeran, namun badan itu masih memerlukan penambahan anggota dalam bidang-bidang tertentu.
"Sekarang ini lebih kurang seribu orang (diperlukan). Kita kekurangan pegawai awam yang tidak diisi. Jadi kita merayu kepada kerajaan untuk memberi pertimbangan lain sedikit kepada polis sebab apabila jumlah pegawai regular (biasa) ini bertambah, beban kerja penjawat awam ini akan bertambah. Saya berharap kerajaan meluluskan permohonan badan itu untuk mengisi lebih seribu kekosongan jawatan profesional," katanya lagi.
Ketika ini katanya, jumlah pegawai awam profesional hanya mencatatkan kurang 10 peratus dalam PDRM dan ia memerlukan perhatian sewajarnya.
"Dari segi peratusan, saya ingat tidak sampai 10 peratus, jumlah yang sebenarnya kita belum muktamadkan sebab ini memerlukan perjawatan tertentu daripada kerajaan. Jadi apa yang ada sekarang ini lebih kepada pegawai-pegawai awam yang membuat kerja-kerja perkeranian, kewangan dan teknologi maklumat," ujarnya lagi.
Malah, katanya, pegawai-pegawai awam yang bekerja dalam bidang profesional akan membantu PDRM dalam menghadapi cabaran di alam siber masa kini.
"Banyak analisis yang perlu dibuat. Jadi ini lebih sesuai dilakukan pegawai-pegawai awam profesional apabila mereka dilatih," jelas Zulkifli.
#IT #PDRM #Pengarah Pengurusan #polis #Teknologi Maklumat #Zulkifli Abdullah
;