Lebih ideal sekiranya sekolah satu aliran dapat diwujudkan - Khairy
Israr Khalid
September 22, 2015 23:02 MYT
September 22, 2015 23:02 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpendapat sistem sekolah satu aliran dijangka mampu memperkasakan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini yang berbilang kaum.
Beliau melihat sistem yang menempatkan semua pelajar dari segenap bangsa atau etnik di bawah satu bumbung dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara utama dapat membentuk masyarakat Malaysia yang lebih erat.
"Dalam dunia yang ideal, itu sepatutnya yang berlaku.
"Secara peribadi, saya tidak menolak bahawa lebih baik jika kita ada sekolah satu aliran di mana semua pelajar boleh belajar bahasa ibunda mengikut bangsa masing-masing sebagai subjek dan bahasa pengantar bagi subjek-subjek lain adalah bahasa kebangsaan, demi perpaduan," katanya.
Bagaimanapun, Khairy yang menggulung perbahasan sidang Parlimen Belia Malaysia sesi tiga penggal pertama yang ditangguhkan pada Selasa mengakui pelaksanaan cadangan itu tidak mudah.
Ia kerana pelaksanaan sistem persekolahan yang diguna pakai ketika ini dibentuk daripada perjanjian sejak merdeka lagi.
"Ini sistem yang dipersetujui oleh para pengasas negara kita, yang mana kita ada sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular yang mengajar mengguna bahasa ibunda mereka.
"Sekiranya kita nak berpindah ke sistem satu aliran, perlu mendapat persetujuan semua atau setidak-tidaknya majoriti terlebih dahulu," jelasnya.
125 perwakilan belia membahaskan empat usul dalam sesi kali ini di Dewan Rakyat yang berlangsung selama dua hari.
Selain usul cadangan sekolah satu aliran, turut dibahaskan usul program penguasaan Bahasa Inggeris di luar bandar, usul menambah baik sistem pengurusan kewangan dan dana politik serta usul mengawal selia pengedaran, penjualan dan penghasilan rokok elektronik (vape) di Malaysia.
Setiap usul yang dibahas dan cadangan yang diputuskan dalam persidangan tersebut akan dibawa kepada Mesyuarat Jemaah Menteri.
Parlimen Belia merupakan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kira-kira dua tahun lepas dan ia antara lain bertujuan melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda berkaliber dan berwibawa sejajar keperluan negara masa kini serta akan datang.
Terdapat sembilan jawatankuasa dalam sistem Parlimen Belia ini iaitu Sosioekonomi; Hubungan Antarabangsa dan Diplomatik; Keselamatan, Undang-undang dan Integriti; Pendidikan dan Kerjaya; Kebudayaan, Sukan, Patriotisme dan Integrasi; Infrastruktur, Pembangunan dan Alam Sekitar; Komuniti Pembangunan dan Kesihatan; Teknologi dan Inovasi; serta Rohani dan Agama.