Lebih dua tahun perangi COVID-19, 1 April permulaan baharu untuk Malaysia

Bernama
Mac 8, 2022 04:00 MYT
Dengan pembukaan semula sempadan, rakyat Malaysia kini boleh keluar masuk negara seperti biasa, dan pengembara luar juga boleh melakukan perkara sama tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan. -Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia akan memasuki Fasa 'Peralihan ke Endemik' yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran dalam pelbagai sektor bagi membolehkan rakyat kembali ke kehidupan hampir normal selepas lebih dua tahun berperang dengan COVID-19.
Mulai 1 April depan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial serta pembukaan sempadan negara akan dilaksanakan dengan selamat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan berita gembira itu berkata ia merupakan strategi keluar dan fasa sementara sebelum negara beralih ke Fasa Endemik yang tertakluk kepada pengumuman Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Langkah penting ini akan merancakkan kembali ekonomi negara khususnya sektor pelancongan yang terjejas selepas pintu sempadan negara ditutup sejak 18 Mac 2020 dalam usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19 dalam negara.
Dengan pembukaan semula sempadan negara ini, bukan sahaja rakyat Malaysia kini boleh keluar masuk negara seperti biasa sebaliknya pengembara luar juga boleh melakukan perkara sama tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.
Fasa peralihan ini dicapai hasil kejayaan program vaksinasi khususnya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan setakat semalam, 98.7 peratus populasi dewasa di dalam negara telah menerima vaksinasi lengkap manakala 64 peratus pula telah diberikan dos penggalak.
Program vaksinasi itu antara yang terbaik di dunia, turut menyumbang kepada kadar pesakit COVID-19 yang rendah dalam Kategori Tiga hingga Lima iaitu sekitar 0.7 peratus daripada kes baharu harian serta menyaksikan jumlah pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) terus terkawal.
Namun, kerajaan tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengekalkan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial, pendaftaran melalui mySejahtera dan mewajibkan MYSJTrace untuk tempat tertutup.
Selain itu, pengembara lengkap vaksinasi tetap perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan, mengambil kira situasi penularan COVID-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda dunia.
"Diharapkan rakyat yang ingin memanfaatkan pembukaan sempadan negara dapat melaksanakannya mengikut garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan diri, orang sekeliling serta negara secara keseluruhannya," kata Perdana Menteri ketika mengumumkan mengenai peralihan itu, di Bangunan Parlimen, di sini pada Selasa.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan Selasa malam, menyambut baik pengumuman itu yang disifatkan satu langkah positif terutamanya bagi sektor-sektor yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 seperti industri pelancongan dan perdagangan.
BACA: Had waktu operasi premis perniagaan dimansuh bermula 1 April - Perdana Menteri
"Insya-Allah dengan pembukaan semula sempadan negara ini, Malaysia akan terus berada pada landasan yang tepat untuk pemulihan ekonomi negara yang diunjurkan untuk berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus untuk tahun 2022," katanya.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata keputusan yang ditunggu-tunggu itu dialu-alukan industri penerbangan kerana ia memberikan hubungan dan pautan untuk memudah cara perniagaan, perdagangan dan pergerakan insan.
"Ini akan membolehkan Malaysia mendapat manfaat sosial dan ekonomi daripada sektor penerbangan berdasarkan sumbangannya kepada pekerjaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Naib Presiden Serantau IATA untuk Asia Pasifik, Philip Goh dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, pengumuman kurang sebulan sebelum menyambut Ramadan itu memenuhi impian umat Islam untuk menunaikan ibadah termasuk solat Tarawih tanpa penjarakan fizikal di masjid dan surau serta solat Aidilfitri.
Langkah kerajaan itu sekali gus menghilangkan kerisauan orang ramai yang berhasrat pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama sanak saudara setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik COVID-19.
Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Majlis Muslim Council of Elders, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyokong perkembangan itu serta menyarankan Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk mengekalkan SOP asas seperti pemakaian pelitup muka sebagai langkah pencegahan.
BACA: Ini 5 perkara penting pengumuman Perdana Menteri hari ini
"Kita perlu terus menjadikan masjid dan surau sebagai contoh terbaik pelaksanaan dan pematuhan SOP," katanya menerusi Twitter.
Pemerhatian Bernama di media sosial juga mendapati rata-rata netizen gembira dengan berita itu dan menyifatkannya sebagai langkah terbaik diambil kerajaan, hasil kerja keras semua pihak di negara ini khususnya golongan barisan hadapan yang bertungkus lumus menentang COVID-19.
Pengguna Twitter @fadhliehafiz menzahirkan rasa syukur serta mengingatkan kepentingan pengambilan vaksin.
"Alhamdullillah. #ReopeningSafely. Tahniah semua! Kita bekerja keras untuk ini. Itulah pentingnya vaksin ya," katanya.
BACA: Pelajar sekolah menengah hadir secara bersemuka mulai 4 April
-- BERNAMA
#pembukaan sempadan #MyTravelPass #MYSJTrace #Peralihan ke Endemik
;