Lebih dua dekad terpisah, rakan baik akhirnya bertemu semula di PKRC
Shuhada Abdul Kadir
Mei 24, 2021 18:29 MYT
Mei 24, 2021 18:29 MYT
AYER KEROH: Disahkan positif COVID-19 ternyata memberi kesan mendalam sehingga menimbulkan pergolakan emosi kepada setiap individu yang mengalaminya.
Namun, cerita berbeza buat dua sahabat baik yang dipertemukan semula di Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), selepas kira-kira 23 tahun terpisah.
Menceritakan momen itu, Norazman Ariffin, 49, yang mula ditempatkan di PKRC MITC pada Sabtu lalu berkata, dia hanya menyedari rakan baiknya itu turut menjalani kuarantin di lokasi sama selepas bersembang sewaktu makan malam.
Menurut Ariffin, rakannya itu dikenali ketika dia bekerja di sebuah syarikat di Batu Berendam sekitar tahun 1995 lalu.
“Saya mula dihantar ke PKRC ini pada sebelah siang Sabtu lalu, manakala rakan saya Shikh Muhammad Makhdad Harun pula dimasukkan ke sini pada sebelah malam.
“Seperti biasalah apabila kita berada di tempat baharu, saya cuba berkenalan dengan semua pesakit sehingga saya makan dan duduk di hadapan dia (rakan).
“Mula-mula memang tak perasan sebab kami berdua pakai pelitup muka sebelum tiba-tiba kedua-dua kami mula rancak bertukar cerita dan menyedari sebenarnya kami pernah berkawan baik suatu ketika dahulu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mengimbau perkenalan dengan rakan baik yang mesra disapa Pak Ngah itu, Norazman yang menetap di Serkam, Merlimau berkata, hubungan mereka amat rapat suatu ketika dahulu sebelum terpisah kira-kira tahun 1998 apabila masing-masing menukar kerja dan membina keluarga.
“Nak jadi cerita, selepas lebih 20 tahun terpisah saya ada perasan cerita Pak Ngah di di akhbar yang mana dia sering membuat kerja amal di negeri Melaka sehinggakan saya terfikir macam mana nak dapatkan nombor telefonnya.
“Tetapi tidak sangka Allah punya kuasa, saya boleh bertentang mata dengan dia dekat sini walaupun mula-mula tu tak perasan.
"Iya lah sekarang dah banyak berubah (jika) nak banding dengan zaman (umur) 20-an dahulu. Dulu berisi sekarang kurus, dulu ada gigi sekarang banyak dah kurang,” selorohnya.
Sementara itu, Shikh Muhammad Makhdad yang berusia 48 tahun juga mengakui kebimbangannya dijangkiti COVID-19 ini sedikit terubat apabila dapat bersua dengan rakan baiknya.
“Saya susah hati apabila diuji dengan virus ini yang mana isteri dan anak sulung turut disahkan positif selepas mendapat jangkitan daripada jemaah surau di kawasan rumah saya.
“Namun rasa gundah itu terubat apabila saya dapat berjumpa semula dengan kawan baik yang suatu ketika dahulu pernah menjadi tempat saya berkongsi semua rasa susah dan senang,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, dia menyatakan rasa syukur dengan pertemuan itu selain lega apabila PKRC itu amat selesa terutama membabitkan layanan dan makan-minum.
Lebih-lebih lagi, apabila mereka boleh solat berjemaah tanpa perlu melakukan penjarakan satu meter seperti di surau dan masjid ketika ini.