Lebih banyak tarikan akan diwujud di Langkawi - Tun Mahathir

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 4, 2018 15:43 MYT
Penyediaan kemudahan untuk produk pelancongan di kawasan pergunungan dan pulau di sekitar Langkawi boleh diperbanyakkan lagi. - Gambar fail
Dalam usaha mengekalkan Pulau Langkawi sebagai destinasi peranginan popular negara ini, lebih banyak pusat tarikan akan diwujudkan di Langkawi agar ia terus menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
Untuk melihat pulau bebas cukai ini terus menjadi tarikan di mata dunia, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, penganjuran sesuatu acara termasuk bertaraf antarabangsa seperti Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang diadakan sejak 1990-an telah berjaya menarik jumlah pelancong yang ramai.
Walau bagaimanapun, itu hanya berlaku dalam tempoh yang singkat.
Jelas beliau, masih terdapat banyak tempat di Langkawi mampu dibangunkan sebagai pusat tarikan termasuk kawasan pesisir pantai, pergunungan dan kawasan paya bakau.
“Dua tahun sekali, kita adakan pameran LIMA dan ia tetap menarik pelancong dengan ramainya. Tapi, walaupun kita boleh ada LIMA, ia berada di satu jangka masa yang pendek sahaja iaitu cuma empat hari.
“Kita perlu kepada projek-projek pelancongan yang boleh menarik pelancong setiap tahun,” ujar Dr. Mahathir.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pusat tarikan berkonsepkan geo-pelancongan baharu, Langkawi Nature Park di Langkawi, siang tadi.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Pengerusi Sentorian Group Bhd Datuk Aznam Mansor.
Tambah beliau, pembangunan Langkawi berjaya dilonjakkan saban tahun dengan kehadiran sehingga 3.6 juta pelancong ketika ini.
“Penduduk dan pengusaha di Langkawi akan dapat lebih banyak peluang untuk berniaga dan mengadakan industri pelancongan termasuk hotel,” ujar beliau.
Antaranya penyediaan kemudahan untuk produk pelancongan di kawasan pergunungan dan pulau di sekitar Langkawi.
Beliau berkata, kawasan paya bakau di sini juga menjadi tarikan yang unik dan perlu disediakan dengan kemudahan yang sesuai untuk membolehkan pelancong menikmatinya.
#geopelancongan #Langkawi #Mahathir Mohamad #pelancong #pelancongan #pulau peranginan #tarikan pelancongan
;