Lebih banyak syarikat swasta sertai inisiatif Ihsan Rahmah MADANI

Bernama
September 16, 2024 05:15 MYT
Azman berkata bagi Jualan Rahmah MADANI, sebanyak 391 program telah dilaksanakan di seluruh Kelantan setakat ini. - Gambar fail/BERNAMA
GUA MUSANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan menggalakkan lebih banyak syarikat swasta menyertai inisiatif Ihsan Rahmah MADANI (IRM) dalam membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan barangan bukan keperluan asas pada harga lebih murah.
Pengarahnya Azman Ismail berkata inisiatif itu secara tidak langsung membuktikan keupayaan sektor swasta menanggung sendiri kos, jualan dan keuntungan dalam menyokong usaha kerajaan bagi memastikan rakyat dapat menikmati harga murah.
"Kita menggalakkan pemain industri bersama-sama dengan kerajaan untuk membantu rakyat. Hal ini sebenarnya satu tanggungjawab sosial korporat daripada syarikat berkenaan untuk memberi bantuan secara terus kepada rakyat dengan memberi apa yang mereka hasilkan.
"Pengurangan harga akan dibuat oleh syarikat terbabit, manakala pihak kerajaan pula akan membantu membuat promosi kepada rakyat untuk mendapatkan barangan yang ditawarkan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Ihsan Rahmah MADANI sempena Hari Malaysia dekat Bandar Utama di sini semalam.
Azman berkata setakat ini tiga syarikat swasta di negeri ini antaranya syarikat peralatan kelengkapan sekolah telah menyertai inisiatif IRM yang menawarkan pelbagai produk di premis mereka dengan pengurangan harga hingga 50 peratus.
Beliau berkata bagi Jualan Rahmah MADANI, sebanyak 391 program telah dilaksanakan di seluruh Kelantan setakat ini.
-- BERNAMA
#Ihsan Rahmah MADANI #golongan B40 #syarikat swasta #KPDN kelantan
;