Lebih banyak syarikat GLC, swasta perlu sumbang kepada Tabung Pahlawan

Irwan Muhammad Zain
Julai 31, 2018 21:23 MYT
Siti Hasmah menyampaikan sumbangan kepada bekas tentera Abdul Razak Mohd Samad pada Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2018 malam tadi. Turut kelihatan, Mohamad dan Mohd Anwar (dua, kanan). --fotoBERNAMA
Lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat gergasi tempatan diminta tampil bagi menyumbangkan dana kepada Tabung Pahlawan.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, hanya segelintir daripada syarikat-syarikat tersebut yang menyalurkan sumbangan, menyebabkan ia hanya berjaya mengumpulkan kurang daripada RM2.5 juta setiap tahun.
Jumlah itu dianggap terlalu sedikit, katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen tabung itu sempena sambutan Hari Pahlawan, di sini pada Selasa.
"Saya menyeru agar lebih banyak GLC dan syarikat lain tampil untuk menyumbangkan dana bagi tujuan kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka ke tabung ini," katanya.
Turut hadir pada majlis itu, isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Presiden Persatuan Veteran Tan Sri Mohd Anwar Md Nor.
Mohamad berkata, sekiranya setiap warganegara dewasa menyumbang RM1 seorang, maka sekurang-kurangnya Tabung Pahlawan dapat mengutip RM20 juta setiap tahun.
Tabung Pahlawan ditubuhkan sekitar 1950 dan diteruskan sehingga kini untuk mengumpul dana bagi membantu bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kempen itu bermula 31 Julai sehingga 31 Disember dengan sasaran kutipan dana berjumlah RM5 juta.
Pada majlis itu, Mohamad yang juga penasihat tabung tersebut turut menerima sumbangan dana dalam bentuk replika cek daripada tujuh syarikat tempatan dengan jumlah keseluruhan RM1.65 juta.
#ATM #CSR #GLC #Hari Pahlawan #Malaysia #Mohamad Sabu #sumbangan #swasta #Tabung Pahlawan