Lebih banyak SOP akan dilonggarkan dalam masa terdekat - Khairy
Hilmi Malik
April 22, 2022 18:16 MYT
April 22, 2022 18:16 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memberi bayangan akan mencadangkan lebih banyak kelonggaran diberikan terhadap prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, keadaan itu juga adalah berdasarkan situasi semasa kes COVID-19 di negara ini yang kelihatan semakin terkawal.
Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak akan dibuat secara terburu-buru sebaliknya dilaksanakan secara berperingkat.
"KKM akan mengumumkan sedikit kelonggaran untuk kita kembali hampir seperti normal tetapi biarlah kita lambat sedikit asal kita selamat.
“Kita jangan leka kerana ada negara yang dia anggap dah menang (bebas COVID-19) tapi sekarang kes kembali meningkat dengan mendadak,” katanya pada Majlis Penyerahan Institut Endokrin Hospital Putrajaya pada Jumaat.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh; dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ujarnya lagi, kelonggaran itu dibuat berikutan tahap pengurusan COVID-19 yang boleh dianggap memuaskan termasuk penurunan kes kemasukan ke wad.