Lebih banyak program libatkan Orang Asli di Melaka - Exco
Bernama
April 21, 2024 14:32 MYT
April 21, 2024 14:32 MYT
ALOR GAJAH: Lebih banyak program melibatkan penyertaan komuniti Orang Asli akan dilaksanakan di Melaka bagi mendedahkan mereka kepada masyarakat luar sekali gus memperkukuhkan perpaduan di negeri itu.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka Ngwe Hee Sem berkata langkah berkenaan mampu memperkasakan golongan Orang Asli dalam aspek kehidupan, sosial dan ekonomi agar dapat bersaing dengan masyarakat tempatan lain.
Beliau berkata di Melaka, terdapat lebih 2,000 Orang Asli melibatkan 14 perkampungan, dan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya sahaja terdapat tujuh perkampungan Orang Asli dengan hampir 600 penduduk.
"Kita melihat terdapat jurang pergaulan atau percampuran penduduk Orang Asli berkenaan dengan masyarakat luar dan situasi ini perlu ditangani kerana kita tidak mahu mereka terus ketinggalan dalam semua aspek kehidupan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Machap Jaya di sini malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya itu berkata antara acara besar negeri melibatkan Orang Asli seperti sambutan memperingati Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Dataran Memorial Kemerdekaan di Banda Hilir, Februari lepas.
Sementara itu, Ngwe berkata masyarakat Orang Asli turut diberi peluang untuk membuat persembahan tarian kepada pengunjung pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Machap Jaya, malam tadi.
Selain itu, beliau berkata pelbagai kursus jangka pendek turut dianjurkan bagi meningkatkan kemahiran masyarakat Orang Asli seperti jahitan, pembuatan kek dan biskut.
Katanya, pertemuan dengan tok batin di setiap perkampungan Orang Asli juga diadakan bagi membincangkan pelaksanaan kursus yang dianjurkan selain menambah kursus diminati dengan kerjasama Kolej Komuniti.
Pada majlis berkenaan, 150 masyarakat Orang Asli sekitar DUN Machap Jaya antara lebih 3,000 pengunjung hadir meraikan majlis rumah terbuka, yang menyediakan pelbagai hidangan istimewa antaranya rendang maman ayam yang popular di Negeri Sembilan.
-- BERNAMA