Lebih banyak peruntukan diperlukan tangani kemurungan - Lee Lam Thye
Bernama
Januari 10, 2020 19:10 MYT
Januari 10, 2020 19:10 MYT
Melihat kepada jumlah kes kemurungan yang semakin meningkat hari demi hari, Kementerian Kesihatan perlu mempertimbangkan lebih banyak peruntukan pada masa hadapan bagi membantu mereka yang menghadapi masalah ini.
Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) Tan Sri Lee Lam Thye berkata beliau akan mengambil tindakan terhadap perkara itu bersama Majlis Penasihat Kesihatan Mental supaya peruntukan dapat ditingkatkan untuk melaksanakan lebih banyak program menangani kemurungan dalam masyarakat.
"Saya rasa kemurungan memang memerlukan lebih banyak sumber daripada aspek kewangan, tenaga, klinikal, psikologi dan psikiatri," katanya kepada Bernama selepas melancarkan buku 'Making Miracles For The Self' di Bukit Kiara Equestrian and Country Resort di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang dan penulis buku itu, Dr Sekar Jaganathan.
Terdahulu, ketika berucap, Lee menegaskan bahawa rakyat Malaysia mempunyai sebab untuk bimbang tentang situasi kemurungan dengan melihat kepada tajuk-tajuk utama akhbar tempatan.
"Berita-berita tentang isu sosial seperti penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana, peningkatan kadar kemurungan dan bunuh diri dalam kalangan masyarakat, kos sara hidup yang meningkat dan isu kesihatan terlalu banyak yang perlu ditanggung dan ditangani.
"Apa lebih membingungkan kini adalah di mana mereka perlu mendapatkan penyelesaian kepada masalah ini? Terdapat pusat kaunseling dan talian bantuan untuk membantu mereka yang mengalami isu mental," katanya.
Sementara itu, Dr Sekar berkata beliau melihat terdapat peluang untuk menghimpun sesi kaunseling dengan pelbagai individu dan kumpulan untuk menjadikannya sebagai satu manuskrip.
"Ini bukanlah buku yang biasa, hanya baca kemudian lupakan. Saya mahu anda (pembaca) menggunakannya sebagai panduan motivasi anda, membaca setiap bab lagi dan lagi, menggunakan contoh-contoh yang diberi, mencari jawapan yang mungkin apabila menghadapi saat kesukaran," katanya.
'Making Miracles For The Self' diterbitkan oleh MPH Publishing dan dijual di semua cawangannya pada harga RM40.
-- BERNAMA
#Kementerian Kesihatan
#Kemurungan
#Lee Lam Thye
#Majlis Penasihat Kesihatan Mental
#Making Miracles For The Self
#MPA
#Persatuan Psikiatri Malaysia