Lebih banyak penjimatan tanpa membeli tanah - MRT Corp
Bernama
Disember 15, 2016 06:34 MYT
Disember 15, 2016 06:34 MYT
Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp), yang baru sahaja menyiapkan fasa pertama projek sulung Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) berkata lebih banyak penjimatan boleh diperoleh daripada kos sasaran awal projek tersebut tanpa membabitkan proses pembelian tanah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata penjimatan yang diperoleh menerusi langkah tidak membeli tanah daripada fasa pertama laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) MRT kemungkinan lebih daripada anggaran RM2 bilion yang diumumkan sebelum ini.
"Ia mungkin lebih lagi kerana kami pada permulaaanya memperuntukkan bajet bagi pembelian tanah.
"Apa yang dilakukan pasukan adalah dengan tidak membeli tanah, yang mana beberapa perjanjian bersama telah dibuat dengan pemilik-pemilik tanah tanpa membeli (tanah tersebut), itulah sebabnya kami boleh menjimatkan wang.
"Apabila fasa dua siap akhir tahun depan, kita akan tahu angka sebenar," katanya kepada Bernama selepas pelancaran fasa pertama projek SBK MRT oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di stesen Kwasa Damansara, dekat sini, pada Khamis.
Najib berkata laluan SBK itu yang merupakan satu pencapaian penting dalam sistem pengangkutan awam di negara ini boleh dilaksanakan dengan kos kira-kira RM21 bilion berbanding kos sasaran awal RM23 bilion.
Sebagai hadiah Tahun Baru kepada rakyat, perdana menteri mengumumkan pengguna boleh menaiki MRT dan perkhidmatan bas pengantara dengan percuma selama sebulan bermula esok, sehingga 16 Jan, 2017.
Shahril menggesa pengguna agar menggunakan sepenuhnya peluang semasa tempoh percubaan itu.
"Sila cuba sistem itu, ia akan memberi manfaat kepada kita semua. Sebaik sahaja ia bermula, kami akan menyediakan lebih 8,000 petak di kemudahan tempat letak kereta.
"Gunakan ia, jangan membazir, kerana kerajaan melabur banyak wang bagi membina MRT dan kemudahannya untuk rakyat," katanya.
Fasa pertama laluan SBK yang melibatkan 12 stesen antara antara Sungai Buloh dan Semantan (21 kilometer) akan mula beroperasi pada pukul 6 pagi esok dengan tambang berharga RM1 dan RM3.90.
Bagi fasa dua laluan SBK, yang merangkumi laluan bawah tanah dan bahagian bertingkat selatan sehingga kajang, Sharil berkata kerja-kerja pembinaan sedang berjalan lancar dan dijangka mula beroperasi pada Julai 2017.
"Kami yakin fasa dua boleh memulakan operasi pada 31 Julai, 2017, InsyaAllah," katanya.
Bagi MRT Two, yang juga dikenali sebagai laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), Shahril berkata pembinaan projek itu kini sedang dijalankan.
"Daripada sepuluh pakej utama, tujuh telah diberikan. Jumlah kontrak yang telah diberikan kini bernilai RM27 bilion.
"Baki tiga pakej akan diumumkan awal Mac," katanya.
MRT Corp menganggarkan kos laluan SSP MRT berjumlah antara RM35 bilion dan RM40 bilion. -- Bernama
#Damansara
#laluan SBK
#Mass Rapid Transit
#MRT
#MRT Corp
#Najib Razak
#Perdana Menteri
#SBK line
#semantan
#Sungai Buloh