Lebih banyak pengilang berpindah semula ke Pulau Pinang pada 2023
Bernama
November 1, 2022 07:49 MYT
November 1, 2022 07:49 MYT
GEORGE TOWN: Pulau Pinang menjangkakan lebih banyak pengilang menempatkan semula kilang mereka ke negeri ini tahun depan, kata Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Kah Choon.
Beliau berkata, penempatan semula itu akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, hasil daripada infrastruktur yang tersedia untuk perniagaan.
"Adalah lebih selamat bagi syarikat memindahkan semula kemudahan mereka ke sini kerana negeri ini dan Malaysia secara amnya dianggap sebagai zon hijau.
"Taiwan misalnya, adalah negara zon merah yang dilanda gempa bumi dan taufan.
"Malaysia adalah lebih selamat, dan tambahan pula, kami sudah mempunyai rantaian bekalan, jadi ini boleh menjadi kelebihan untuk kami," katanya kepada Bernama selepas merasmikan pembukaan hab pengedaran rantaian bekalan baharu NI Malaysia Sdn Bhd di sini pada Selasa.
Lee berkata Pulau Pinang telah mula menerima pertanyaan daripada syarikat-syarikat asing (yang kini berpangkalan di China) untuk berpindah ke sini berikutan konflik AS-China yang berpanjangan.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa pengilang harus menjangkakan perniagaan akan perlahan sedikit pada 2023, dengan mengambil kira kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi global.
Ditanya mengenai pelaburan dalam sektor pembuatan di Pulau Pinang yang diluluskan pada Julai-Disember 2022, Lee menjangkakan negeri itu akan mencatatkan jumlah yang sama seperti pada separuh pertama tahun ini, sekali gus kembali ke tahap prapandemik.
Terdahulu, Lee membacakan ucapan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, yang disahkan positif COVID-19.
"Pulau Pinang adalah antara penyumbang utama negara dari segi pelaburan dalam pembuatan dengan mencatatkan pelaburan sebanyak RM7.9 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2022.
"Pada Januari hingga Ogos 2022, nilai eksport Pulau Pinang meningkat 30 peratus tahun ke tahun kepada RM291 bilion, mewakili 29 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara.
"Dan, sejak kebelakangan ini ia mendahului senarai sekali lagi dengan eksport berjumlah RM14.4 bilion atau 33.2 peratus daripada jumlah eksport negara pada September 2022," kata Ketua Menteri.
Sementara itu, Pengarah Urusan NI, Selvam Chinappan berkata dengan siapnya hab pengedaran di Pulau Pinang ini, ia akan memainkan peranan penting bagi mengukuhkan jejak global syarikat itu.
"Kemudahan itu juga akan berfungsi sebagai pusat pengedaran global untuk ujian automatik yang berkaitan dengan perisian dan sistem pengukuran automatik.
"Apabila beroperasi sepenuhnya, kemudahan itu akan membolehkan pertumbuhan NI untuk produk berkaitan dengan aplikasi Megatrend Industri 4.0, termasuk internet pelbagai benda (IoT), 5G dan teknologi Automotif (Sistem Bantuan Pemandu Termaju dan Pemanduan Autonomi)," katanya.
Mengulas mengenai pelancaran hab pengedaran rantaian bekalan global baharu NI, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata untuk bergerak ke hadapan, MIDA merancang mempertingkatkan produktiviti dan kemampanan dengan lebih giat lagi.
"Kami mahu mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi yang memperoleh gaji lebih tinggi, berpandukan kepada Aspirasi Pelaburan Nasional," katanya.
-- BERNAMA
#Lee Kah Choon
#pulau pinang
#pengilang kembali ke Pulau Pinang
#syarikat asing berpangkalan di China